Ahli-ahli panel semasa telepersidangan Moody’s: prospek negara-negara Asia Pasifik (APAC) bagi 2018 awal hari ini berkata, kesan kejutan kadar faedah akan lebih dirasai oleh negara-negara yang mempunyai keperluan pinjaman kasar tinggi, terutamanya jika mereka bergantung kepada pinjaman pasaran dan pembiayaan mata wang asing.

Penolong Naib Presiden-Penganalisis Moody’s Investors Service Singapore Pte. Ltd., Anushka Shah berkata, secara umumnya Malaysia terdedah kepada naik turun aliran modal disebabkan oleh peralihan aktiviti dalam pasaran kewangan global, dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS akan menjejaskan aliran ke Asia dan negara-negara sedang pesat membangun.

“Bagaimanapun, Malaysia memiliki faktor-faktor mitigasi yang boleh menampan kesan kenaikan kadar faedah AS. Faktor-faktor ini termasuklah langkah-langkah negara membangunkan pasaran pertukaran asing dalam negara, yang mana juga mengukuhkan sistem kewangan dalam hampir keseluruhan rantau ini.

“Ciri-ciri lain seperti kehadiran pasaran modal domestik besar, yang menyediakan sumber permintaan bagi bon domestik, ditambah dengan pelabur institusi domestik yang kukuh juga membantu negara,” katanya.

Selain itu, Anushka berkata, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara dengan pertumbuhan ekonomi terpantas di rantau Asia disebabkan oleh ekonominya yang dinamik.

Meskipun prospek positif bagi negara pada tahun ini, hutang isi rumah masih kekal tinggi meskipun lebih stabil.

Dalam laporan Moody’s, firma penyelidikan itu berkata, kawal selia dan peraturan perbankan yang berhemat telah meningkatkan daya tahan sektor perbankan di Malaysia, Singapura, Taiwan dan Thailand, yang seterusnya mengehadkan risiko kegawatan pasaran perumahan yang boleh mengancam kestabilan kewangan dengan kos fiskal ketara kepada kerajaan.

Mengulas mengenai APAC secara keseluruhan, beliau berkata, ekonomi-ekonomi di rantau ini berkedudukan baik meraih manfaat daripada pertumbuhan positif ekonomi global, justeru, ini akan menyokong proses pembaharuan.

Pertumbuhan positif ekonomi global akan disokong oleh prospek stabil Moody’s bagi kepercayaan kredit negara-negara di APAC dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, walaupun tahap kadar hutang tinggi kekal menjadi kekangan kredit utama.

“Kekuatan ekonomi di rantau ini dan paras tinggi keterbukaan perdagangan menyediakan peluang kepada negara-negara di rantau ini meraih manfaat daripada pertumbuhan kukuh produk domestik kasar global,” kata Anushka.

Pasaran negara-negara sedang pesat membangun APAC dijangka berkembang sebanyak 6.5 peratus tahun ini, ekonomi membangun sebanyak 5.9 peratus dan ekonomi maju sebanyak 1.8 peratus.

Pasaran ekonomi sedang pesat membangun termasuklah China, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand manakala pasaran membangun terdiri dari Bangladesh, Kemboja, Fiji, Maldives, Mongolia, Pakistan, Papua New Guinea, Solomon Islands, Sri Lanka dan Vietnam.

Ekonomi maju terdiri daripada Australia, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Macao, New Zealand, Singapura dan Taiwan. - BERNAMA