Paling ketara, mereka kini dapat menyelami perkembangan dialami industri bekalan elektrik (ESI), sejajar dengan tema CEPSI 2018 iaitu Reimagining Utility of the Future (Imaginasi Semula Utiliti Masa Depan) apabila ramai pemimpin sektor itu berkongsi pandangan mengenai transformasi yang bakal melanda segmen itu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Namun, tema yang ternyata mencetuskan pandangan ramai adalah ‘idea’ pemusatan atau penumpuan industri tenaga dan telekomunikasi berikutan persamaan ciri yang berteraskan jaringan atau rangkaian yang padat bagi kedua-dua segmen berkenaan.

Ramai yang mengakui ke­dua-dua industri ini berupaya menikmati penjimatan kos yang besar jika pihak terbabit dapat berbincang untuk sama-sama melakar kemajuan demi manfaat pelanggan serta kepentingan mereka.

Malah, beberapa penceramah pada persidangan itu berpendapat, kerjasama sedemikian sudah mula dilaksanakan di beberapa negara yang turut menguntungkan komuniti perniagaan.

Pada sesi utama ESI Innovation and Smart Solutions (Inovasi ESO dan Penyelesaian Pintar), Pengarah Urusan Accenture Digital (ASEAN) James Chong dan Naib Presiden Segmen Tenaga Global Nokia, Kamal Ballout berkongsi pandangan bahawa langkah menjalin pakatan atau kerjasama antara syarikat tenaga dan telekomunikasi (telco), merupakan pendekatan untuk terus mencatat kemajuan pada masa depan.

Mereka turut percaya, walaupun usaha mengurangkan kos menjadi antara proses terbabit, syarikat utiliti ini juga perlu berhati-hati terhadap perkhidmatan tambahan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan perolehan tidak lenyap seiring dengan kemajuan teknologi.

Chong dan Ballout juga berpendapat, syarikat tenaga dan telco sewajarnya meninjau bidang yang berpotensi menjana lebih banyak perniagaan menerusi kemudahan seperti Internet of Things dengan penyedia khidmat lain.

Ini penting bagi memastikan sinergi kerjasama itu dapat diter­jemah dalam bentuk manfaat lebih baik bagi pembangunan bandar serta penduduknya.

Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies Co. Ltd. Paul Scanlan berkongsi dengan para peserta mengapa syarikat kuasa dan telekomunikasi akan lebih banyak berbincang untuk menentukan sinergi bagaimana membentuk kerjasama bagi manfaat pengguna pada masa depan.

Beliau menyimpulkan de­ngan memberi contoh kes pemasa­ngan stesen asas telekomunikasi yang memerlukan input daripada syarikat telekomunikasi dan utiliti kuasa, dan jika kedua-duanya boleh bekerjasama, kos pemasangan akan turun dan seterusnya akan memberi manfaat kepada pengguna. – BERNAMA