MAB dalam kenyataan berkata, ini merupakan tahun kedua Akademi MAB menjadi RTP dan lanjutan kerjasama itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan Akademi MAB sebagai hub pem­belajaran penerbangan serantau.

Menurut syarikat itu, Akademi MAB akan menawarkan kursus IATA kepada syarikat dan industri penerbangan yang dapat memenuhi keperluan pe­ngawalseliaan di rantau ini.

“Akademi MAB sebagai RTP dapat menawarkan kursus ­kelas IATA yang akan disampaikan oleh tenaga pengajar dari persatuan berkenaan bersama ­bahan pengajaran.

“Sesi latihan pertama akan bermula 19 Ogos depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis lanjutan kerjasama itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Akademi MAB, Kapten Kamarudin Kamilin dan Naib presiden Serantau Asia Pasifik IATA, Conrad Clifford.

Akademi yang ditubuhkan pada Oktober 1994 itu dahulunya dikenali sebagai Akademi Malaysia Airlines (Akademi MAA) bagi memenuhi keperluan pembelajaran kakitangan Malaysia Aviation Group (MAG). Ia kemudiannya diperbadankan pada 2015.

Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pembangunan pe­nerbangan, hospitaliti dan profesional, Akademi MAB menawarkan gabungan kepakaran dunia sebenar dan profesional industri.

Akademi MAB juga merupakan Organisasi Latihan yang Diluluskan (ATO) yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Latihan yang disediakan mendapat kelulusan dari Majlis Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) dan di­sahkan oleh SIRIM Berhad melalui MS ISO 9001:2015.

Akademi MAB akan menawarkan diskaun untuk ahli IATA dan harga istimewa kepada rakyat Malaysia.