LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pentadbiran baharu kerajaan percaya dengan prinsip untuk tidak mencampuri urusan perniagaan dan sebaliknya akan memperbanyakkan program bagi mempermudahkan sektor swasta mencapai potensi mereka.

“Kami akan mempermudahkan sektor swasta dan mengu­rangkan pembabitan oleh kerajaan.

“Sebagai tambahan, kita juga akan secara beransur-ansur merealisasikan nilai aset milik kerajaan dan menggunakan hasil ini untuk mengurangkan hutang,” katanya berucap pada Persidangan Pelabur Malaysia: Permulaan Baharu 2018 di sini hari ini.

Katanya, kerajaan akan memainkan peranannya sebagai pembeli tunggal terbesar negara bagi mendorong keberkesanan dan daya saing sektor swasta.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, projek-projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) akan tetap diteruskan dalam format dan mekanisme berbeza.

Katanya, model baharu yang dikenali sebagai PPP 2.0 akan dite­rapkan pada semua projek yang masih menunggu kelulusan termasuklah projek-projek lain pada masa depan.

Melalui proses ini jelasnya, sektor swasta akan dapat dipulihkan kerana aset seperti tanah milik kerajaan akan dijual kepada entiti terbaik dalam memaksimumkan pula­ngan pelaburan mereka manakala projek pula akan diberikan kepada syarikat yang paling berdaya saing dan cekap.

Beliau berkata, sebelum ini sebahagian besar projek PPP didapati dirunding secara langsung dengan kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan sebagai pertukaran untuk tanah kerajaan dan bukannya dibayar secara tunai.

“Proses rundingan langsung ini menyebabkan model PPP terdahulu menjadi kegiatan ra­suah atau kroni kapitalisme. Melalui rundingan terus, nilai sebenar tanah kerajaan yang dijual adalah di bawah harga pasaran namun kos projek awam menjadi lebih tinggi,” jelasnya.

Katanya PPP 2.0 akan me­ngubah proses pemilikan tanah dengan melaksanakan lelongan terbuka untuk tanah berkenaan dijual dan pada masa sama menjalankan tender terbuka untuk pembinaan projek itu.

“Ini akan membolehkan kerajaan mencapai pulangan ter­tinggi untuk pelupusan aset serta mene­rima nilai terbaik untuk projek yang diberikan,” katanya.