Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ia termasuk tawaran untuk memba­ngunkan Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3) bernilai RM2 bilion yang te­lah dibuka pada Februari lalu.

Katanya, sebahagian daripada projek yang akan dibuka tender itu meliputi pengubahsuaian 50 bangunan kerajaan untuk dilengkapkan dengan instrumen cekap tenaga.

“Ia berbentuk tender terbuka dan terpulang kepada syarikat-syarikat perkhidmatan tenaga sama ada mereka mendapati ini menarik untuk syarikat seterusnya mengemukakan tawaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Hijau MIDF di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kum­pulan MIDF, Da­tuk Charon Mokhzani.

Ujar Bee Yin lagi, akan ada projek pemeteran tenaga bersih (NEM) bernilai RM1 bilion yang merupakan peluang kepada mereka yang terlibat dengan RE. Bagaimanapun ia tidak termasuk projek RE tarif galakan (feed-in-tariff)

“Projek NEM ini bagaimanapun tidak memerlukan tender terbuka kerana ia berdasarkan siapa cepat dia dapat, anda cari pelanggan, anda membinanya, selepas itu anda akan dapat NEM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata, pasukan tindakan khas pembiayaan hijau ditubuhkan untuk menggalakkan pembiayaan hijau swasta di negara ini.

Beliau berkata, pasukan tindakan khas itu adalah di bawah kelolaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang akan menyediakan laporan mengenai cadangan dari segi dasar dan pelan tindakan untuk menggalakkan pembiayaan hijau swasta.

“Pasukan tindakan khas di bawah SC ini akan menghantar laporan cadangan kepada kerajaan menjelang akhir Julai ini.

“Kerajaan akan menilai cadangan yang dikemukakan dan berharap beberapa cadangan akan dapat dimasukkan dalam belanjawan tahun depan,” katanya.