Pendek kata, sekiranya kerajaan meneruskan projek itu, ia bermakna margin kapasiti atau penampan yang telahpun berada di paras optimum 32 peratus akan meningkat lagi ke tahap yang lebih daripada diperlukan oleh pengguna di negara ini.

Ia sudah tentunya satu pembaziran sumber yang akan me­ningkatkan pembayaran kerajaan bagi menyenggara sejumlah penampan yang tidak perlu, yang kelaknya akan menyebabkan bil elektrik yang lebih tinggi.

Pertimbangan teliti telah dibuat bagi mengambil keputusan berani itu di mana kerajaan juga sudah tentunya tidak mahu menanggung kesan kewangan atau undang-undang akibat daripada penamatan empat projek itu.

 

Rundingan Terus

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mendakwa empat kontrak itu diperoleh menerusi rundingan terus dan juga melanggar terma dan syarat surat tawaran mereka.

Dengan melepaskan bebanan industri penjanaan kuasa de­ngan pembatalan yang tepat pada masa itu, kerajaan juga meletakkan asas bagi industri penjanaan kuasa yang lebih mampan. Ini seiring dengan pemikiran semasa kementerian tersebut dalam membentuk semula industri penjanaan kuasa tempatan.

Pembaharuan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan strategi untuk membantu industri dan struktur pasaran menjadi lebih cekap, berteraskan pasaran, hijau dan lestari.

Kajian semula oleh kerajaan itu sudah pastinya untuk menying­kirkan apa yang tidak diperlukan dalam industri dan menilai apakah campuran tenaga yang betul yang sejajar dengan amalan terbaik di negara lebih maju.

Keberanian bagi pihak kerajaan itu menunjukkan bahawa tidak ada keperluan untuk berpegang kepada modul tertentu hanya kerana sesetengah syarikat memperoleh kontrak jangka panjang.

Ia juga amat menggembirakan pengguna bahawa ke­rajaan komited untuk memastikan bahawa projek tenaga masa depan akan dijalankan melalui tender terbuka, sama ada untuk bahan api fosil atau projek tenaga boleh diperbaharui. Ini amat penting kerana kos bahan api semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Di Malaysia, lebih ba­nyak tenaga elektrik dihasilkan daripada arang batu berbanding sumber bahan api lain seperti gas atau hidro. Sebahagian besarnya, kira-kira 70 peratus, dibeli dari Indonesia dan selebihnya dari Australia, Afrika Selatan dan Rusia. Gas merupakan sumber bahan api kedua terbesar bagi penjanaan elektrik di Malaysia dan masih menerima impak daripada tahap subsidi.

Potensi

Berikutan potensi turun naik harga sumber bahan api, satu mekanisme yang dikenali sebagai Ketidakseimbang­an Pelepasan Kos (ICPT) telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) pada 2015 untuk menyediakan cara yang fleksibel untuk menyelaras harga. Ia bertujuan membantu industri penjanaan kuasa yang boleh te­rus melabur untuk berkembang dan memberikan perkhidmatan yang kompetitif dan cekap.

Sebagai satu mekanisme di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), ia membolehkan Suruhanjaya Tenaga membawa perubahan perubahan (sama ada peningkatan atau pengurangan) dalam kos bahan api dan berkaitan penjanaan dalam tarif elektrik setiap enam bulan.

Sejak pelaksanaan ICPT pada 2014, sejumlah RM6.3 bilion rebat dan subsidi ICPT telah di­salurkan kepada pelanggan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Apabila ICPT mula diperkenalkan pada 2015, harga arang batu global adalah kira-kira RM250 satu tan metrik. Harga arang batu naik lebih RM370 satu tan metrik pada awal tahun ini, meningkat 47 peratus sejak itu.

Bagi gas, harga semerta global mencatat paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada Januari tahun ini pada AS$3.87 bagi setiap juta BTU dan kini bergerak sekitar AS$3.00 pada suku ketiga 2018 daripada serendah AS$1.73 pada Mac 2016. Harga gas di Malaysia kini bergerak ke tahap pasaran di bawah program rasionalisasi harga gas.
Apabila membayar tarif elektrik, hampir 70 peratus adalah kepada bahan api dan penjanaan.

Dengan lebih 90 peratus daripada tenaga elektrik di Malaysia dijana oleh stesen jana kuasa berasaskan arang batu dan gas, perubahan harga bahan api biasa­nya memberi impak yang besar kepada kos elektrik dan dengan ICPT, ia telah dirangka untuk menampung turun naik harga.

Oleh kerana harga terus tidak menentu, begitu juga cabaran untuk menyediakan bekalan tenaga yang selamat dan dipercayai dan dalam masa yang sama mengekalkan harga elektrik pada kadar berpatutan. Ini bermakna TNB perlu menguruskan ekosistem elektrik yang memerlukan peraturan dan struktur pasaran yang boleh berubah untuk memenuhi keadaan yang berubah.

Mekanisme ICPT

Sehubungan itu, mekanisme ICPT membolehkan industri melalui EC mengkaji semula harga elektrik berdasarkan perubahan harga minyak.

Dalam landskap yang sentiasa berubah, Malaysia tidak bersendirian dalam menghadapi kos bahan api yang tinggi berikutan ekonomi Asia yang pesat berkembang akan terus memacu permintaan kepada arang batu dan gas asli. Di bawah senario itu, keupayaan untuk fleksibel adalah penting.

Bagi TNB untuk memenuhi keperluan elektrik negara, ia juga perlu melaksanakan rangka kerja harga yang adil untuk mencerminkan perubahan kos elektrik. Ini juga memerlukan pengguna membayar bagi bahagian mereka untuk memastikan Malaysia mempunyai industri bekalan elektrik yang mampan.

Oleh itu, ini bermakna me­laksanakan imbangan yang tepat untuk jangka masa panjang dan kecekapan tenaga yang menjimatkan kos di negara ini.

Justeru, pujian seharusnya diberikan kepada MESTECC dan EC dalam menangani kea­daan yang sukar dan memastikan harga elektrik yang adil dan wajar untuk rakyat Malaysia. – BERNAMA