Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu ekoran trend global ketika ini yang menyaksikan lebih banyak kapal berkapasiti besar dibina bagi meningkatkan jumlah kontena yang boleh diangkut pada satu-satu masa.

Menurut beliau, bagi membolehkan kapal bersaiz besar ini berlabuh, kemudahan di pelabuhan sedia ada perlu dipertingkatkan untuk menguruskan pelbagai aspek operasi.

"Kerajaan ambil maklum adanya keperluan agar pelabuhan sedia ada dibangunkan, dipertingkat dan diperluas agar dapat menampung kapasiti yang lebih besar untuk bersaing dengan negara jiran seperti ­Singapura dan Indonesia yang juga memiliki pelabuhan besar.

"Usaha ini perlu dilaksana de­ngan membawa masuk pelabur dan ini merupakan projek jangka masa panjang dan melibatkan banyak proses. Ini perlu dimulakan dari sekarang atau kita tidak boleh bersaing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan syarikat pembekal traktor Terberg Tractors Malaysia (TTM) untuk membekalkan traktor pintar tanpa ­pemandu di pelabuhan itu.

Tambah beliau, pelabuhan di negara ini mempunyai kelebihan iaitu sudah dikenali di peringkat antarabangsa dan terletak di lokasi strategik yang berada pada laluan laut utama dunia.

Berkenaan program itu, Siew Fook berkata, langkah PTP ­mengaplikasikan teknologi terkini dalam pengurusannya me­rupakan penambahbaikan yang akan memastikan pelabuhan itu terus berdaya maju.

"Traktor pintar tanpa pemandu ini dijangka beroperasi dalam tempoh antara dua hingga lima tahun akan datang.

"Penggunaan teknologi ini memakan sedikit masa kerana transponder yang diguna pakai sedia terbina dalam traktor dan bukan dipasang di laluan atas jalan," katanya.