Ketua Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly berkata, lebih 1,600 pemenang berpeluang membawa pulang wang tunai, mata ganjaran Mesra, pakej percutian, gajet, motosikal dan banyak lagi hadiah dengan setiap pembelian serendah RM30 menerusi kad Mesra.

“Kami sentiasa mengutamakan penghargaan kepada pelanggan dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa untuk menjadikan kempen lebih bermakna, kami turut menjalankan soal selidik untuk mendapatkan maklum balas ganjaran idaman pelanggan.

“Saya pasti Mesra Bonanza ini akan mendapat sambutan yang baik kerana ia adalah kempen terbesar PDB dan mudah untuk disertai, hanya leretkan kad Mesra dan berpeluang untuk menang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemasaran Runcit PDB, Abang Jimmy Abang Mordian.

Mesra Bonanza menyediakan hadiah utama pakej percutian tajaan penuh untuk menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1), wang tunai bernilai RM50,000, pakej percutian ke destinasi pilihan pemenang, motosikal skuter Yamaha serta Samsung Smart TV.

Selain itu, kempen berkenaan turut menawarkan hadiah bulanan seperti Samsung S9, GoPro Hero6 Black, set mainan Lego Speed Champion, baucar beli-belah bernilai RM500 di Lazada dan Watson, serta mata ganjaran Mesra bernilai RM1,000.

Pelanggan perlu berbelanja RM30 dalam satu resit bagi bahan api petrol atau diesel termasuk barangan di Kedai Mesra untuk memenangi hadiah bulanan, sementara bagi hadiah utama, mereka perlu mengumpul jumlah pembelian RM500 dalam tempoh dua bulan.

Kempen Mesra Bonanza tersebut turut disokong oleh rangkai­an rakan niaga PDB termasuk CIMB, Maybank, Watson, Lazada dan Samsung.