Presidennya, Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, Pekema menyokong Dasar AP Terbuka yang telah ditambah baik, tetapi menekankan bahawa kelonggaran terhadap syarat tertentu dalam dasar itu boleh menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Antara kelonggaran itu, kata Zainuddin melibatkan satu daripada syarat kelayakan untuk memohon AP yang menyatakan bahawa pemohon perlu mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta.
Katanya, syarat itu sangat longgar memandangkan jumlah itu disifatkan sebagai tidak mencukupi untuk memulakan perniagaan menjual kenderaan meskipun diberikan AP.
“Jika buat ruang pameran sahaja sudah menelan belanja ratusan ribu ringgit, ditambah modal untuk berniaga lagi, tidak cukup. Pada awalnya syarat yang dikenakan ialah RM5 juta, itu kami setuju tetapi apabila dikurangkan, kami bimbang berlaku penyelewengan AP.

“Penyelewe­ngan itu merujuk kepada pemohon yang menerima AP menjualnya kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada bukan bumiputera. Inilah yang berlaku sebelum ini, kami sokong Dasar AP Terbuka, tetapi syarat ini terlalu longgar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 13 Mei lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mengumumkan, pengubahsuaian Dasar AP Terbuka sedang dalam proses akhir untuk dimuktamadkan sebelum dilaksanakan bermula Januari 2017.
Antara syarat kelayakan untuk memohon AP ialah syarikat harus 100 peratus bumiputera, manakala syarikat pemegang sedia ada perlu memohon semula sebagai syarikat AP terbuka.
Syarikat yang ingin memohon juga perlu mempunyai pengalaman minimum selama dua tahun dan sedang beroperasi dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan sama ada kereta, motosikal atau kenderaan perdagangan.
Permohonan untuk menjadi syarikat yang layak diberi AP terbuka bagi tahun 2017 akan dibuka bermula 23 Mei hingga 21 Jun ini.

Sementara itu, Pekema memohon kerajaan memansuhkan bayaran levi sebanyak RM10,000 untuk setiap permit import (AP) kerana jualan kereta import terpakai telah merekodkan penurunan sebanyak 50 peratus pada penghujung tahun lepas.
Zainuddin berkata, pada tahun 2015, hanya kira-kira 16,000 daripada keseluruhan sebanyak 35,000 kuota AP yang diberi telah digunakan berpunca daripada pembayaran levi itu serta beberapa faktor lain yang semakin memberi tekanan sehingga memperlahankan industri automotif.

Selain itu, menurut beliau, Pekema tidak mampu bersaing dengan pemegang francais kerana dasar import kenderaan baharu dari luar negara seperti Jepun tidak dikenakan sebarang cukai, sedangkan kereta import terpakai terpaksa menanggung duti import, duti eksais serta levi yang dikenakan.

“Sejak pembayaran levi AP bermula tahun 2010, margin keuntungan Pekema telah merosot kerana pemegang francais yang memasarkan kenderaan import baharu mampu menawarkan harga yang sangat kompetitif, manakala persatuan terpaksa berdepan kenaikan kos operasi.