Ini menyaksikan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.7 peratus bagi suku terakhir menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 pada 4.7 peratus, berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada 2017.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, prestasi tersebut turut dipengaruhi faktor-faktor luar jangkaan seperti gangguan dalam sektor bekalan serta turut mengambil kira ketega­ngan perdagangan global dan juga pasaran kewangan global.

“Namun, sebarang impak negatif daripada ketegangan perdagangan global telah diambil kira dalam membuat unjuran pertumbuhan. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka stabil dengan permintaan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

“Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan secara purata diunjur meningkat dengan sederhana dengan kesan dasar cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan 2019 akan luput menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan Pres­tasi Ekonomi Malaysia Suku Keempat di sini hari ini.

Malaysia mencatat KDNK suku pertama 2018 pada 5.4 peratus kemudiannya 4.5 peratus pada suku kedua diikuti 4.4 peratus pada suku ketiga.

Inflasi keseluruhan suku keempat menurun kepada 0.3 peratus berbanding 0.5 peratus pada suku sebelumnya disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan yang menjadi negatif. Hasil daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyebabkan penurunan dalam inflasi suku keempat.

Pelaburan

Menurut Nor Shamsiah, eksport barangan dan perkhid­matan yang kembali pulih turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport yang bersih dan positif.

“Pertumbuhan sektor perkilangan terus dipacu oleh kelompok elektronik dan barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan berkaitan pengguna.

“Sektor komoditi juga te­rus pulih daripada gangguan pengeluaran yang dialami sejak suku kedua, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan oleh sektor perlombongan dan perindustrian,” katanya.

Lebihan akaun semasa Malaysia melonjak kepada RM10.8 bilion pada suku di bawah semakan didorong oleh lebihan akaun barangan yang lebih besar sebanyak RM33 bi­lion berbanding RM26.6 bilion pada suku sebelumnya.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi suku keempat me­lonjak kepada RM12.9 bilion daripada RM4.3 bilion pada suku ketiga tahun sama sebahagian besarnya dari Belanda, Jepun dan Hong Kong.

Katanya, Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA) pula mencatatkan ali­ran keluar bersih yang lebih tinggi bernilai RM10.8 bilion berbanding RM3.8 bilion suku ketiga 2018.

Ringgit

Sementara itu mengulas me­ngenai prestasi ringgit, Nor Shamsiah berkata, mata wang tempatan itu menyusut 1.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2018.

Ringgit bagaimanapun di­nilai 1.5 peratus lebih tinggi pada 2019 namun ketidaktentuan berkaitan normalisasi dasar kewangan AS serta prospek pertumbuhan global yang lembap adalah antara faktor yang akan memberi kesan kepada prestasi ringgit.

Mengulas mengenai hutang luar negeri, beliau berkata, pada akhir suku keempat 2018, hutang luar negara terdiri daripada 44 peratus hutang jangka pendek dan hutang sederhana hingga 56 peratus.

“Kira-kira satu pertiga hutang luar negeri disebut dalam ringgit, yang mana 31 peratus daripada hutang negara adalah denominasi ringgit, manakala baki 69 peratus adalah hutang denominasi mata wang asing,” katanya.

Hutang luar Malaysia berjumlah RM924.9 bilion atau 64.7 peratus daripada KDNK pada akhir Disember 2018, berbanding RM933.30 bilion atau 65.3 peratus daripada KDNK yang dicatatkan pada akhir suku ketiga 2018.