Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, pertumbuhan domestik mungkin disokong oleh permintaan yang kukuh daripada penggunaan swasta dan aliran masuk pelaburan dan eksport asing yang mantap.

“Tindakan pentadbiran baharu untuk menjadikan kerajaan lebih telus, pertumbuhan mantap, kadar pengangguran yang rendah dan akaun semasa yang lebih besar akan membantu menyokong ekonomi domestik pada tahun hadapan.

“Malaysia juga mungkin memperoleh manfaat daripada inisiatif perdagangan serantau dan pelbagai hala seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, yang akan membantu meningkatkan perdagangan dan pelaburan di seluruh ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyambungan dan hubungan kukuh dalam perdagangan dengan rakan serantau akan membantu meningkatkan daya tahan negara terhadap perlindungan perdagangan global yang semakin meningkat.

Dalam jangka sederhana, Lim menjangkakan ekonomi akan meneruskan trajektori pertumbuhan berdasarkan asas kukuh dan pembaharuan dasar yang berterusan untuk merangsang pertumbuhan melalui produktiviti buruh, perbelanjaan mo­dal dan teknologi.

Di peringkat global, beliau berkata, ketidaktentuan akan terus menguasai hubungan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) pada tahun hadapan.

“Kami percaya dalam senario terburuk, tarif yang lebih luas ditetapkan ke atas barangan China, yang boleh meningkatkan ketegangan perdagangan sekiranya China bertindak balas, yang akhirnya akan menyebabkan perdagangan dan pelaburan beralih jauh dari China dan AS.

“Isu berterusan dalam perdagangan juga boleh menjejaskan ekonomi Asia yang terlibat dalam rantaian nilai global. Sementara itu, Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah susulan kadar pengangguran rendah, yang boleh mengukuhkan dolar AS dan menambah tekanan ke atas ekonomi Asia,” kata Lim.

Selain itu, politik Eropah juga terus bergolak, meletakkan tekanan dalam pasaran global.

Menurutnya, pelabur perlu mengimbangi dan mengoptimumkan portfolio pelaburan mereka untuk melindungi aset, menjana pendapatan yang mapan dan memenuhi matlamat kewangan jangka panjang. –BERNAMA