Manokaran Mottain

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain berkata, inisiatif kerajaan menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan peningkatan gaji minimum sejak akhir 2015 merupakan antara faktor yang merangsang pertumbuhan penggunaan swasta.

Katanya, trend juga menunjukkan pertumbuhan penggunaan swasta kekal kukuh dan berkembang 2.8 peratus mengikut pelarasan bermusim, yang sebenarnya merupakan pertumbuhan tertinggi direkodkan dalam tempoh lebih tiga tahun lalu.

Berdasarkan perkembangan positif itu, katanya, Malaysia berupaya mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.8 peratus berbanding unjuran awal 4.4 peratus manakala inflasi pula pada 3.5 peratus berbanding 2.1 peratus tahun lalu.

“Bagaimanapun, unjuran kami terhadap penggunaan swasta kekal bercampur-campur disokong oleh petunjuk penggunaan seperti indeks jualan runcit pada suku pertama meningkat 2.3 peratus manakala sentimen pengguna menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula kekal lemah bagi tempoh 11 suku berturut-turut.

“Selain itu, pasaran buruh turut perlahan dengan kadar pengangguran mencatat purata 3.5 peratus, yang tertinggi sejak suku pertama 2010. Disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi juga, keadaan ini secara tidak langsung boleh mengehadkan pertumbuhan penggunaan swasta,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim yang membentangkan pencapaian ekonomi dalam sidang akhbar hari ini menyifatkan ia prestasi terbaik yang dicatatkan sejak suku pertama 2015. Bagi tempoh sama tahun sebelumnya, Malaysia mencatat pertumbuhan 4.2 peratus manakala 2015, 5.8 peratus.

Prestasi ekonomi Malaysia yang lebih tinggi itu disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik, khususnya perbelanjaan sektor swasta. Dalam tempoh itu, pertumbuhan permintaan domestik meningkat 7.7 peratus manakala penggunaan swasta berkembang 6.6 peratus.

Menurut Manokaran, BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus sepanjang tahun ini memandangkan sebarang kenaikan kepada inflasi adalah disebabkan tekanan kos dan bukannya permintaan.

Sementara itu, MIDF Research optimis ekonomi Malaysia boleh mencatat pertumbuhan pada 4.9 peratus tahun ini dengan mengambil kira prestasi ekonomi di peringkat domestik dan global.

Katanya, peningkatan yang stabil dalam negara-negara ekonomi utama dan pertumbuhan sederhana bagi harga komoditi secara tidak langsung memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia menerusi permintaan eksport dan industri pengeluaran terutama berorientasikan eksport.

Namun, di sebalik penambahbaikan dalam pasaran global, konflik geopolitik di negara-negara membangun kekal mencabar terutama menerusi aktiviti ekonomi global.