JAMEEL AHMAD
JAMEEL AHMAD

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, KDNK yang dicatatkan pada suku ber­kenaan adalah jauh lebih rendah daripada ramalan penganalisis yang menjangkakan ia berkembang melebihi lima peratus.

Katanya, ini menimbulkan beberapa kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan keseluruhan bagi ekonomi Malaysia pada 2018 yang perlu diselaraskan semula dengan lebih rendah.

“Sentimen terhadap ekonomi Malaysia menyaksikan negara mencatat pertumbuhan suku kedua lebih rendah. Bagaimanapun, ini dilihat sejajar dengan trend pertumbuhan dalam pasaran ekonomi baharu muncul di Asia Tenggara, misalnya pertumbuhan ekonomi Singapura juga tidak menepati jangkaan dan kebimbangan ekonomi Chi­na semakin merosot.

“Saya tidak fikir data-data ekonomi ini me­ngecewakan ketika ke­cen­derungan pelabur ter­­hadap rantau ini adalah terhad. Kebimbangan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, risiko politik daripada ketidakpastian dasar-dasar Presiden Donald Trump akan menyebabkan pelabur terus berhati-hati dan pastinya memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Bagi suku kedua 2018, Malaysia mencatat pertumbuhan 4.5 peratus berbanding 5.8 peratus bagi tempoh sama tahun sebe­lumnya, iaitu pertumbuhan pa­ling lemah dalam tempoh enam suku tahun sebelum ini. Ia di­sebabkan kejutan berkaitan komoditi dalam sektor perlombo­ngan dan pertanian.

Susulan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) Jumaat lalu me­nyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2018 kepada lima peratus daripada 5.5 hingga enam peratus yang dijangkakan sebelum ini berikutan gangguan pengeluaran minyak dan gas yang berlanjutan serta kekangan pengeluaran sektor pertanian.

Gabenor BNM, Datuk Nor Sham­siah Mohd. Yunus juga berkata, Malaysia dijangka menerima kesan minimum daripada perang perdagangan antara AS dan China kerana negara ini adalah sebuah ekonomi terbuka yang kecil tetapi jika ia terus memuncak, seluruh ekonomi global akan menerima kesannya dan pertumbuhan dunia dijangka merosot sebanyak 0.5 peratus menjelang 2020.

Keadaan itu menyebabkan penganalisis melihat pertumbuhan ekonomi pada separuh ke­dua tahun ini lebih berlahan de­ngan MIDF Research menyemak semula pertumbuhan ekonomi negara kepada 5.2 peratus berbanding unjuran 5.5 pe­ratus sebelum ini.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, pengurangan te­kanan inflasi, pe­ngu­kuhan permintaan do­mestik dan dasar ekonomi akomodatif serta pertumbuhan semula eksport akan menjadi pemacu utama prestasi KDNK pada separuh kedua 2018.

“Kami percaya permintaan domestik terutama penggunaan swasta akan te­rus menyokong pertumbuhan ekonomi di sebalik margin cukai yang rendah. Dari segi pelaburan pula, pelaburan awam akan te­rus berkurangan pada separuh kedua memandangkan kerajaan Pakatan Harapan menyemak dan menstruktur semula fiskal termasuk menangguhkan dan membatalkan beberapa projek infrastruktur,” katanya.

Mengenai ekonomi global, selain kebimbangan perang dagangan, ketidaktentuan harga komoditi, ketegangan geopolitik dan peningkatan paras kadar faedah adalah antara risiko yang akan memburukkan kemelesetan ekonomi global.

M.MANOKARAN
M.MANOKARAN

“Kami berpendapat ketega­ngan perang dagangan juga akan me­nyebabkan aktiviti perniagaan domestik semakin merosot termasuk negara-negara perdagangan secara berperingkat-peringkat. Malah, kes krisis lira juga adalah luar biasa kera­na ia melibatkan pertikaian politik antara Turki dan AS berikutan penahanan paderi AS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Al­liance Bank, M.Manokaran berkata, disebabkan per­be­lanjaan kerajaan yang rendah bagi mengimbangi pertumbuhan penggunaan swasta dalam tempoh terdekat, unjuran KDNK negara disemak lebih rendah pada 4.8 peratus berban­ding 5.6 peratus.

“Namun, kami menja­ngkakan penggunaan swas­ta terus berkembang de­ngan mengambil kira dua bulan ‘tax holiday’ yang akan mendorong perbelanjaan penggunaan sekali gus menyumbang secara positif kepada pertumbuhan suku ketiga. Tetapi, ia tetap tidak mampu menyokong pertumbuhan KDNK melebihi paras lima peratus,” katanya.