Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, peng­anjuran karnival tersebut merupakan platform kepada orang ramai untuk meningkatkan kesedaran dan memperkasakan pengetahuan kewangan mereka.

Menurutnya, perkara itu pen­ting kerana kesejahteraan kewangan adalah prasyarat untuk menjadikan ekonomi lebih produktif, berdaya tahan dan inklusif.

“Kesejahteraan kewangan merujuk kepada sikap bertanggungjawab dalam membuat keputusan kewa­ng­an dan keupayaan untuk hidup mengikut kemampuan tanpa me­ngira status (kewangan) mereka.

“Dalam erti kata lain, seseorang yang kaya juga boleh terjebak dalam masalah kewangan jika tidak mampu menguruskan kewangan dengan rasional dan sanggup berhutang demi gaya kehidupan (mewah),” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kewangan Kedah 2018 di sini hari ini.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Yang hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Ne­geri, Datuk Bakar Din.

Ahmad Bashah memberitahu, budaya hidup mengikut kemampuan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat bagi mereka merancang kewangan demi masa depan.

Dalam pada itu, beliau berharap pemain industri kewang­an di negeri ini dapat mengambil kira kepelbagaian kumpulan pengguna selaras dengan perkembangan perkhidmatan perbankan yang kini beralih kepada digital atau dalam talian.

“Bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kewangan di luar bandar, inisiatif ejen perbankan telah dijalankan dengan lebih daripada 500 ejen bank telah beroperasi di Kedah sahaja.

“Namun, besar harapan kami agar industri kewangan dapat memberi lebih pendedahan dan pendidikan mengenai perbankan digital termasuk E-pembayaran kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, perkhidmatan ejen perbankan juga perlu diperluas supaya masyarakat terutama penduduk luar bandar dapat menggunakan kemudahan yang ditawarkan.