Lebih menarik, keunikan yang ditampilkan itu memberi seribu sinar kepada Pengasas karipap rusa jenama ElDorado Venison Puff, Muhamad Fakhruddin Mohamed Akhbar sebagai pintu rezeki bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga meskipun bergelar orang kurang upaya (OKU).

Jelasnya, perusahaan karipap rusa itu telah lama beroperasi sejak 2014 hasil idea ayahnya yang kini diwarisi Fakhruddin bersama isteri, Norhanisah Abdullah.

“Bekalan daging rusa diperoleh daripada ayah saya sendiri yang juga seorang penternak rusa di Pahang.

“Saya dan isteri jalankan perniagaan ini sepenuh masa bermula daripada resipi, menguli kulit karipap, memasak inti hingga proses pembungkusan. Semuanya kami lakukan bersama-sama,” katanya seperti ditulis dalam Blog Media Pertanian Penternakan dan Usahawan Malaysia.

Dugaan Fakhruddin sebagai OKU bermula 10 tahun lalu akibat tergelincir di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

Tidak mudah kalah dan putus asa dengan dugaan itu, dia tetap bersemangat meneruskan kehidupan bersama keluarga termasuklah menggiatkan pernigaan karipap rusa tersebut.

“Buat masa ini keripap rusa dijual atas talian (online) melalui jaringan media sosial seperti Facebok dan sebarang tempahan akan dihantar kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang. Setiap set karipap rusa yang mengandungi inti padat dan kulitnya yang nipis dijual pada harga RM10.

“Pasaran karipap ini sangat menggalakkan kerana ramai pelanggan mahukan kelainan rasa, keenakan intinya yang bukan sahaja sedap tetapi berkhasiat,” tambahnya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, Fakhruddin berharap untuk membuka kafe sebagai lokasi pengoperasian untuk dia dan isteri lebih giat menghasilkan pelbagai menu berasaskan rusa.

“Kami juga sedang mencari agen atau stokis di seluruh Malaysia bagi memasarkan produk kami,” ujarnya lagi.

Orang ramai yang ingin merasai keenakan karipap rusa boleh menghubungi Fakhruddin di talian 011-21843978 atau melalui Facebook Pembekal Karipap Daging Rusa serta di akaun Instagram ElDorado Karipap Daging Rusa Official. – UTUSAN ONLINE