Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP turut mencatat pres­tasi keseluruhan yang kukuh melangkaui semua kelas aset dalam portfolio, yang mana sebahagian besar didorong oleh pelaburan dalam ekuiti global yang mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik.

Katanya, KWSP turut merekodkan peningkatan sebanyak 6.38 peratus caruman tahunan kepada RM65.52 bilion, berban­ding jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion, sekali gus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM16.12 bilion.

“Setakat 31 Disember 2017, jumlah caruman ahli adalah sebanyak RM768.51 bilion dan jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM791.48 bilion. Kelas aset ekuiti, yang merangkumi 42 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana RM31.47 bilion untuk 2017.

“Daripada pendapatan pela­buran kasar RM53.14 bilion yang dijana untuk tahun tersebut, lebih daripada 40 peratus pendapatan disumbangkan oleh pelaburan luar negara KWSP yang merangkumi kurang daripada 28 peratus daripada portfolio pelaburannya,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

KWSP hari ini membentangkan Laporan Tahunan 2017 yang kini boleh dimuat turun daripada laman web myEPF di pautan www.kwsp.gov.my. Laporan tersebut turut dibentangkan di Parlimen pada 3 April lalu.

Institusi dana itu sebelum ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional melibatkan agihan dividen RM44.15 bilion dan kadar dividen sebanyak 6.40 peratus untuk Simpanan Syariah melibatkan agihan dividen RM3.98 bilion.

Secara keseluruhannya, agihan dividen untuk 2017 berjumlah RM48.13 bilion, naik 29.80 peratus dari 2016.

Jumlah permohonan pengeluaran meningkat 3.84 peratus kepada 2.45 juta, yang mana 2.32 juta permohonan diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion melalui pelbagai skim pengeluaran.

Secara keseluruhannya, Shahril Ridza berkata, 2017 merupakan tahun yang baik yang mana KWSP buat pertama kalinya mengumumkan keputusan pelaburan dan kadar dividen bagi Simpanan Syariah.

Ujarnya, KWSP mengakhiri tahun kewangan dengan mencatat pendapatan pelaburan kasar tertinggi dengan pulangan atas pelaburan kasar (ROI) sebanyak 7.30 peratus, peningkatan 18 mata asas berbanding 2016.

“Kami amat berbangga de­ngan prestasi keseluruhan KWSP untuk 2017 kerana bukan sahaja kami mampu mencatat kadar dividen yang baik, kami juga dapat memenuhi permintaan ahli dan membantu majikan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

“Dari segi prospek kewangan, kami menjangkakan turun naik pasaran yang berterusan dan ketidaktentuan politik untuk tahun yang akan datang bagi kedua-dua bahagian domestik dan global. Walau bagaimanapun, kami melihat ini sebagai satu peluang untuk mengekalkan prestasi kewangan dan meningkatkan pulangan pelaburan dalam jangka panjang,” katanya.