AmInvestment Bank dalam nota kajiannya berkata, pelancaran Saga baharu oleh Proton Holdings Berhad (Proton) baru-baru ini akan dapat mengekalkan momentum jumlah jualannya bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Kami juga menantikan model X70 secara pemasa­ngan tempatan (CKD) pada November ini dengan pengurusan DRB-Hicom membayangkan bahawa harga SUV berkenaan akan dikurangkan,” katanya di sini hari ini.

Proton kembali ke kedudukan kedua dalam jumlah keseluruhan jualan pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 8,590 kenderaan bagi Julai.

Jualan Proton mencatatkan kenaikan sebanyak 23 peratus pada Jun sementara jualan Julai menokok enam peratus.

Bagi tahun ini, jumlah jualan Proton kini sebanyak 52,269 kenderaan berbanding 35,561 buah pada tahun 2018 iaitu bersamaan pertumbuhan sebanyak 47 peratus dalam keseluruhan jualan dari tahun ke tahun.

Sementara itu, jumlah kese­luruhan industri (TIV) pada Julai meningkat 20 peratus bulan ke bulan namun merosot 26 peratus tahun ke tahun kepada 50,900 kenderaan.

Bagi tujuh bulan pertama 2019, TIV turun tiga peratus kepada 347,200 kenderaan berbanding 358,100 buah pada tempoh sama tahun lepas.

Menurut bank pelaburan itu lagi, walaupun pihaknya masih belum menerima angka rasmi Persatuan Automotif Malaysia untuk jenama lain dan pecahan jumlah industri, berkemungkinan besar Proton mengatasi Honda dan menduduki tempat kedua dalam penguasaan pasaran untuk tahun ini.

“Kami yakin Proton akan menduduki tempat kedua menjelang akhir 2019 di belakang Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dengan momentum dan penyerahan berterusan bagi model berorientasikan jumlah seperti Persona dan Iriz,” katanya.