Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Frost & Sullivan, Vivek Vaidya berkata, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan positif ekonomi negara pada tahun ini.

Menurutnya, pe­ngu­kuhan ringgit juga membantu mengurangkan kos import untuk alat ganti serta model kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) sekali gus menyumbang kepada kestabilan harga.

“Pelancaran model-model uta­ma seperti Perodua Myvi pada suku keempat 2017 dan Toyota CH-R pada tahun ini turut memacu pertumbuhan jualan.

“Bagaimanapun, penambahbaikan kualiti pinjaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jaringan pengangkutan awam lebih baik serta pertumbuhan per­khidmatan e-hailing bakal memberi sedikit kesan kepada industri automotif tempatan,” katanya dalam pembentangan prospek pasaran automotif 2018 di sini hari ini.

Vaidya berkata, permintaan terhadap kenderaan penum­pang bagi tahun 2017 meningkat kepada 390,009 buah dengan jualan segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) me­nyumbang sebanyak 72,179 buah.

Katanya, pertumbuhan segmen MPV sebanyak 27.2 peratus berbanding 2016 itu dipacu oleh jualan kukuh bagi model Honda BR-V yang di­perkenalkan pada awal tahun 2017.

“Bagi kategori pe­­ngeluar pula Per­usahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) kekal di tempat pertama dengan penguasaan pasaran sebanyak 40.1 peratus diikuti Honda (21.1 peratus), Proton (13.6 peratus) dan To­yota (9.2 peratus). Kategori ken­deraan komersial terus dikuasai oleh pengeluar dari negara Jepun dengan Toyota menerajui pasaran sebanyak 35 peratus,” ujarnya.

Mengenai kerjasama Proton dan Geely, Vaidya berkata, lebih banyak model Geely dengan jenama Proton akan diperkenalkan pada masa depan.