Pengarah Urusan Ford Motor Company untuk Pasaran Baharu Muncul Asia Pasifik, Truong Kim Phong berkata, sifat serba boleh dan kemampuan Ranger yang tiada tandingan menjadi pemacu kepada kejayaan dan daya penarik kepada para pe­langgan.

Menurut beliau, Ranger mengakhiri 2018 di kedudukan kedua carta jualan trak pikap paling laris di Malaysia kerana pengguna mahukan sebuah trak yang serba boleh untuk me­laksanakan pelbagai kerja serta memenuhi gaya hidup aktif.

“Ranger menerima pelbagai pengiktirafan pada tahun lalu termasuk Trak Pikap Terbaik oleh Malaysia Car of The Year (COTY) dan daripada DSF.my Allianz Vehicle of The Year (VOTY).

“Trak pikap ini juga me­rangkul Anugerah Emas untuk Trak Pikap Tahun ini di Carlist.my People’s Choice Awards dan Editor’s Choice Award 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di Malaysia, Ranger boleh didapati dalam sembilan varian termasuk Ranger Raptor yang direka khusus untuk pemanduan lasak dan berkelajuan tinggi, Wildtrak daripada siri premium, XLT+, XLT dan XL.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Auto Conne­x­ion (SDAC), Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, baru-baru ini pihaknya telah memperkenalkan barisan Ranger yang diberikan nafas baharu dengan menggabungkan ciri-ciri teknologi, keselamatan dan keselesaan.

“Kami yakin momentum jualan Ranger dijangka berterusan pada 2019 di samping SDAC turut meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Ford dan SDAC akan bersama-sama untuk memperhebatkan pengalaman pemilikan produk Ford dan usaha itu termasuk proses penambahan dan menaik taraf pengedar-pengedar di seluruh negara.