Situasi itu juga dianggap sebagai punca utama syarikat kereta nasional Proton Holdings Berhad (Proton) gagal untuk bersaing sekali gus membawa kepada kemerosotan prestasi, kehilangan penguasaan pasaran dan mencatatkan kerugian.

Matlamat beliau hanya satu iaitu untuk melindungi industri automotif tempatan yang pada tanggapan beliau masih di peringkat ‘bayi’ yang memerlukan perlindungan, sokongan dan perhatian daripada kerajaan.

Sehubungan itu, kerajaan mencadangkan untuk mengehadkan kemasukan kereta asing ke dalam pasaran tempatan. Bagaimanapun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan pemerhati industri melihat langkah tersebut sebagai terkebelakang dan ia hanya akan menjejaskan keran­cakan industri automotif selain mengurangkan persaingan dengan jenama luar.

Jika menilai cadangan tersebut daripada perspektif Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Pero­dua) sudah pasti ramai yang bersetuju bahawa ia melin­dungi pengeluar kereta tempatan. Namun, dalam konteks yang lebih luas ia hanya memberikan impak negatif kepada industri, ekonomi dan rakyat.

Banyak syarikat antarabangsa menggunakan komponen tempatan yang mana ia telah mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan dan rakyat mempunyai lebih banyak pilihan.

Sekiranya sekatan dilakukan, bimbang pengeluar kereta asing tidak berminat de­ngan pasaran Malaysia sekali gus menyebabkan pelaburan sedia ada dibawa keluar, pertukaran teknologi dan kepakaran tidak berlaku, tiada penciptaan pekerjaan baharu serta rakyat tidak mempunyai pilihan.

Alasan pengeluar kereta tempatan tidak boleh bersaing dengan jenama antarabangsa perlu diperhalusi lagi. Sudah pasti rakyat tidak mahu hujah itu digunakan semata-mata untuk melindungi syarikat yang gagal menunjukkan daya saing selain mempunyai nilai sentimental kepada seseorang.

Perodua telah menjual sebanyak 204,900 buah kende­ra­an pada 2017 dengan pe­nguasaan pasaran lebih 35 peratus dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju untuk 12 tahun berturut-turut. Separuh pertama tahun ini sahaja sebanyak 117,100 buah kenderaan telah terjual.

Proton pula mencatatkan jualan yang stabil pada 2017 dengan 70,991 buah kende­raan didorong oleh usaha pe­ningkatan kualiti yang agresif dilakukan di peringkat dalaman menerusi rakan kongsi­nya, Geely Auto.

Kedua-dua pengeluar kereta tempatan juga telah menjalin kerjasama dengan pelbagai rakan strategik yang terkemuka seperti Honda, Daihatsu, Citroen, Geely dan Mitsubishi.

Melihat kepada pertumbuhan jualan tersebut ternyata kereta tempatan tidak terlalu ketinggalan dan boleh dikatakan memiliki kekuatan dalam segmen masing-masing.

Kerjasama yang dibina bersama rakan strategik tidak hanya tertumpu kepada perpindahan teknologi semata-mata. Gunakan peluang ketika masih ‘bayi’ untuk belajar dengan mengkaji segala aspek kejayaan mereka termasuk strategi, pengedaran, pemasaran dan fleksibiliti.

Tambahan pula, kemasukan jenama asing ke dalam pasaran tempatan meningkatkan lagi daya saing dan memperbaiki kelemahan agar kua­liti yang dihasilkan setanding mereka.

Walaupun harga kereta luar lebih mahal, tetapi rakyat tetap membeli dan keputusan itu bukan dibuat bersandarkan kepada jenama tersebut tetapi apa pakej keseluruhan yang ditawarkan kepada pembeli.

Keanjalan untuk memenu­hi cita rasa pembeli dengan mengetahui trend terkini sangat penting. Jangan hanya mengeluarkan kereta ‘syok sendiri’ yang akhirnya tiada orang mahu membeli.

Khidmat selepas jualan juga harus dipertingkat de­ngan menyediakan segala kelengkapan dalam satu bumbung. Walaupun menelan kos yang agak besar tetapi ia akan memberikan sisi positif kepada pelanggan.

Penekanan kepada beberapa aspek kecil mampu menjadikan pengeluar kereta nasional lebih kompetitif. Bangunkan semula dengan segala sumber yang kita ada dan bukannya bercita-cita mahu melaksanakan projek kereta nasional baharu.

Sekiranya kaedah pelaksa­na­an, pentadbiran dan mentaliti yang dibawa ke dalam projek baharu itu tetap tidak berubah nescaya impak­nya turut sama. Yang pasti pelaburan yang dibuat hanya akan merugikan negara.