Penganalisis Ekonomi merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Alpha College of Technology, Dr. Hamzaid Yahya berkata, kenaikan harga barang dan pendapatan sebenar juga tidak selari hingga pertumbuhan yang baik dalam KDNK tidak dapat dinikmati oleh sebahagian besar rakyat.

“Jadi, apakah jaminan yang ada kepada generasi akan datang, dalam tempoh 20 atau 30 tahun lagi. Generasi muda yang berpendapatan RM3,000 tidak mampu membeli rumah, mereka hanya boleh cukup makan sahaja.

“Banyak juga perkara yang saya bimbangkan terutama jurang pendapatan antara anak Melayu, Cina dan India. Anak Melayu masih lagi mempunyai persepsi untuk bekerja dalam kerajaan tetapi bagi Cina dan India mereka bekerja di sektor swasta yang menyaksikan peningkatan pendapatan berlaku dengan lebih pantas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Awal tahun ini, Bank Dunia menjangkakan Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh enam tahun lagi atau menjelang 2024.

Bagaimanapun, laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan sekalipun prestasi makroekonomi kukuh untuk beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat sedikit kebimbangan bahawa pertumbuhan KDNK yang tinggi tidak menghasilkan penambahbaikan terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, jika tiada perubahan dalam polisi negara untuk menangani masalah jurang pendapatan, perkara tersebut akan lebih memudaratkan dalam jangka masa panjang.

Katanya, untuk itu, kerajaan harus memberi perhatian terhadap bidang keusahawanan dalam usaha membantu merapatkan jurang pendapatan memandangkan pada tahun lalu, ia menyumbang sebanyak 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya yakin dengan ini kita dapat meningkatkan pekerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri. Tetapi, kerajaan harus seiring dalam menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan menggalakkan pelaburan asing ke dalam negara untuk sepadankan antara permintaan dan penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai negara maju, ia bukanlah diukur dari segi tahap pendapatan semata-mata tetapi melibatkan banyak aspek lain, antaranya, pengangkutan awam yang cekap dan efektif, sistem pendidikan yang mapan dan institusi kerajaan yang telus dan akauntabiliti.