Demikian pesanan Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk SM Zulkifli SM Amin kepada peminat motosikal berkuasa tinggi, baru-baru ini. Jelas SM Zulkifli, banyak yang mempunyai persepsi dan anggapan negatif
terhadap penunggang motosikal berkuasa tinggi ekoran sikap segelintir mereka terhadap masyarakat umum.

“Walaupun sebenarnya majoriti penunggang motosikal berkuasa tinggi memiliki sivik yang tinggi, berpendidikan dan mempunyai karier yang profesional. “Semua ini berlaku kerana anggapan masyarakat umum yang tidak mengenali secara dekat penggiat industri, sebaliknya hanya membaca melalui viral-viral di laman sosial dan media antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Bikers United Club Malaysia (BUCM), di sini.

Menurut SM Zulkifli, laporan dan khabar angin tersebut perlu diperbetulkan supaya tidak mengakibatkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas seterusnya membebankan penunggang motosikal berkuasa tinggi, seperti yang berlaku di luar negara. Tambah beliau, pelbagai impak buruk boleh berlaku jika masing-masing masih memandang remeh isu ini, antaranya industri permotoran negara akan sunyi seterusnya banyak usahawan terpaksa gulung tikar.

“Australia misalnya, tidak boleh memakai nama persatuan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi, Amerika Syarikat dan Eropah pula tidak boleh menggunakan eksoz yang bising manakala Taiwan menetapkan beberapa lebuh raya tidak boleh digunakan oleh penunggang jentera beroda dua ini.

“Apabila melihat dunia luar begitu tegas terhadap penunggang motosikal berkuasa tinggi, sudah tentu kita tidak mahu ia berlaku pula di sini. Jadi, kita perlu bersatu dan menjaga perilaku masing-masing supaya tidak memburukkan nama baik industri ini,” ujarnya.