Untuk rekod, perancangan awal jambatan lurus diubah menjadi bengkok kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya atas sebab-sebab tertentu yang hanya republik itu tahu. Setelah beberapa rundingan dan perbincangan diadakan antara Malaysia dan Singapura, projek tersebut akhirnya tiba di jalan buntu ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2006.

Berdasarkan kenyataan Ja­ba­tan Perdana Menteri pada 14 Julai 2006, antara punca projek itu terkubur adalah berkaitan dengan dua tuntutan Singapura supaya Malaysia menjual pasir kepada republik berkenaan serta membuka ruang udara Johor untuk latihan jet pejuangnya. Jadi, kerajaan terpaksa membuat keputusan tegas untuk memberhentikan projek itu. Kesimpulannya mudah, Malaysia mahu dan Singapura tidak.

“Sekiranya kerajaan mene­rima dua syarat Singapura bermakna kerajaan membelakangkan kehendak sebilangan besar rakyat Malaysia. Kerajaan sentiasa menegaskan bahawa sebarang keputusan dibuat adalah keputusan politik, yang mana ia berdasarkan sentimen, kedaulatan dan maruah rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Mengikut tujuan asal ranca­ngan pembinaannya, struktur binaan jambatan yang tinggi 25 meter daripada paras laut akan membolehkan kapal-kapal dagang bersaiz kecil dan sederhana melalui Selat Johor. Ini akan membuatkan Pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas menerima lebih banyak kapal yang berhenti berlabuh tanpa perlu mengelilingi dan akhirnya berhenti di Singapura.

Perkara itu sekali gus akan merancakkan ekonomi terutama masyarakat setempat di kawasan Iskandar Puteri, Johor dan memberi sedikit tekanan kepada Singapura yang terke­nal sebagai negara pelabuhan. Selain itu, Tambak Johor yang juga telah digunakan sejak tahun 1923 sebelum Merdeka lagi itu menghalang laluan air untuk melalui Selat Johor yang jelas­nya menjejaskan kualiti air dan kawasan persekitarannya.

Tambak yang ada hari ini sudah terlalu lama dan sempit sehingga mengundang ke­sesakan jalan raya yang teruk terutama di waktu puncak. Bukankah sepatutnya sudah tiba masanya tambak itu diganti dengan sesuatu struktur baharu yang lebih berkesan untuk menampung pertumbuhan pesat wilayah Selatan negara?

KRONI

Ketika Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memaklumkan tentang perancangan kerajaan itu, rata-rata netizen terutama di media sosial dilihat terus menghentam kerajaan dengan menganggapnya sebagai satu projek kroni. Mana tidaknya, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan kerana kerajaan ingin menumpukan kepada kedudukan fiskal negara yang lemah, tetapi jambatan bengkok boleh pula?

Ya, mungkin pembinaan jam­batan itu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi di kawasan sekitarnya, tetapi bukankah HSR juga akan membawa pelbagai impak positif, malah dalam skala yang lebih besar lagi. Ini sangat berkait dengan kos kedua-dua projek itu, jambatan bengkok asalnya dianggarkan menelan belanja RM1.1 bilion pada 2003, dan mengikut kadar semasa mungkin menjadi tiga hingga empat kali ganda. Tetapi, HSR pula RM100 bilion!

Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat perkara lain yang sepatutnya lebih diberikan tumpuan seperti pembinaan sekolah atau hospital untuk kegunaan orang ramai. Atau mengutamakan projek infrastruktur lain untuk faedah Johor dan Malaysia secara kese­luruhannya. Atau mungkin juga melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang jelas akan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat luar bandar di Pantai Timur.

Sekiranya kerajaan kekal dengan pendirian untuk meneruskan semula projek itu, rakyat Johor sudah tentu akan menyokongnya dengan hati terbuka. Namun wujud keperluan untuk mengkajinya dengan le­bih mendalam terutama kesannya terhadap hubungan Malaysia dengan Singapura.

Pembinaan jambatan bengkok sebenarnya langsung tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana projek itu hanya melibatkan kawasan Malaysia sebelum kembali bersambung dengan tambak di bahagian republik itu. Sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia boleh melakukan apa yang diinginkan selagi di dalam wilayahnya. Tiada keperluan untuk bergantung kepada kuasa-kuasa asing.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara sebelum ini mendapati bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan berkenaan secara bersendirian kerana terikat dengan Perjanjian Air Johor-Singapura, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan 1965.

Dengan pelbagai kekeliruan, adalah penting bagi kerajaan untuk mengkaji implikasinya. Kerajaan tidak seharusnya me­nimbulkan sebarang konflik, tetapi mempertimbangkan baik dan buruknya sesuatu tindakan, dan seterusnya membuat satu keputusan yang terbaik untuk Malaysia.