Beliau berkata, masalah yang berlaku disebabkan pendekatan yang dibuat kerajaan terdahulu yang tidak masuk akal.

“Kita mengurangkan 6,000 pekerja tetapi mengurangkan penerbangan ke banyak tempat. Nisbah kakitangan dengan laluan penerbangan masih sama. Kita kena fikir semula tentang MAS.

“Kalau ada mana-mana cadangan termasuk sektor swasta nak beli, kita fikirlah,” katanya kepada media Malaysia sewaktu mengakhiri lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari ke Pakistan, di sini hari ini.

Pada 5 Mac, Khazanah Nasional, sayap pelaburan kerajaan, dilaporkan mengalami rosot nilai RM7.3 bilion pada tahun lepas dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh MAS.

Khazanah merupakan satu-satunya pemegang saham MAS setelah mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2014 dan ia telah menyuntik dana sebanyak RM6 bilion untuk membaiki prestasi syarikat namun usaha tersebut gagal.

Dr. Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji pelbagai opsyen sebelum membuat keputusan me­ngenai masa depan MAS sama ada akan menutup, menjual atau membiayainya semula.

Ditanya mengenai langkah pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam mewujudkan kilang pemasangan tempatan di Pakistan, Dr. Mahathir berkata, langkah itu lebih baik untuk Proton mema­suki pasaran negara seperti Pakistan berbanding negara maju.

“Biasanya kita memilih negara yang jauh lebih maju tetapi negara maju tidak begitu mudah untuk memindahkan teknologinya kepada orang lain. Ia bagi teknologi sedikit sahaja. Kita mempunyai peluang untuk masuk di sini, mungkin kita dapat kerjasama dalam satu industri dengan Pakistan.

“Apabila mereka boleh menerima cadangan untuk buat kereta dengan kita, saya rasa ia baik. Kalau mereka boleh buat kenderaan tentera, saya fikir yang lain-lain tidak susah bagi mereka,” katanya.

Pada Jumaat, Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah menyempurnakan upacara simbolik pecah tanah bagi kilang pemasangan Proton di negara itu. – BERNAMA