Itulah yang dilakukan Raja Saidatuliqmal Raja Hamid, 31. Beliau mendesak dirinya untuk melakukan inovasi terhadap produk yang dijual secara dalam talian (online) bagi meraih permintaan.

Berbekalkan ilmu membuat kuih dan biskut yang dipelajarinya beberapa tahun lalu, Raja Saidatuliqmal memilih bandar Jerantut, Pahang sebagai lokasi untuk menjual aneka jenis biskut dan brownies.

Namun disebabkan wujudnya persaingan sengit dalam jualan brownies yang semakin banyak di bandar itu, Raja Saidatuliqmal mengubah strategi dengan menawarkan brownies di dalam bekas kek cawan.

“Di Kuala Lumpur..., cara ini sudah banyak dibuat. Tetapi di Jerantut, masih belum ramai menyajikan brownies mengikut cara ini.

“Jadi, saya mencuba. Alhamdulillah..., ia mendapat sambutan menggalakkan. Ini kerana brownies di dalam kek cawan lebih mudah diambil dan dimakan,” katanya kepada S2.

Menurut Raja Saidatuliqmal yang berasal dari Kuala Lumpur, minat untuk berniaga biskut dan kek muncul setelah dia berkahwin dan mengikut suaminya menetap di Jerantut pada 2013.

Katanya, tempahan yang diterima membuatkan dia tidak menang tangan terutama sekali pada musim hari raya.

Selain brownies, Raja Saidatuliqmal yang menggunakan jenama produknya Princess Cookies turut menerima tempahan membuat lima jenis biskut iaitu Belgium Cookies, Crunchy Choc Finger, Choclate Ball, Brownies Cookies dan Choclate Cookies.

Menurutnya, semasa mula-mula menjalankan perniagaan secara dalam talian, dia hanya berkemahiran membuat tiga jenis biskut. Namun selepas itu, dia mempelajari kemahiran dan ilmu membuat biskut dan kek.

Tambahnya, selain menerima tempahan dari sekitar Jerantut, dia juga banyak menerima tempahan dari pelanggan di Kuala Lumpur.

“Saya kerap pulang ke rumah ibu bapa di Kuala Lumpur. Jadi sebelum pulang, saya akan buka tempahan dan membawa semua biskut ke sana untuk diserahkan kepada pelanggan,” katanya.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, strategi promosi dan pemasaran yang digunakan adalah sepenuhnya di laman sosial termasuk Facebook dan Instagram.

“Namun, promosi mulut ke mulut daripada pelanggan yang pernah menempah biskut beliau turut menjadi antara faktor Princess Cookies mendapat sambutan,” tambahnya.

Katanya, darah berniaga yang diwarisi daripada keluarganya dimanfaatkan sebaik mungkin walaupun ada sahaja cabaran dan halangan yang dilaluinya.

“Berniaga di bandar kecil ada cabarannya. Oleh kerana itu, saya mencipta sedikit kelainan pada produk,” katanya.

Raja Saidatuliqmal juga menerima tempahan membuat biskut untuk dijadikan hadiah kepada tetamu di majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan.

Bagi yang berminat, boleh mendapatkan maklumat mengenai produk Princess Cookies di Facebook Raja Saidathuliqmal Raja Hamid atau di Instagram, Saidatuliqmal.