Menurutnya, keadaan itu me­ngambil kira kesan pelaksanaan langkah-langkah dasar terhadap faktor-faktor kos dalam negeri dengan inflasi keseluruhan pada Julai mencatat kadar 0.9 peratus.

“Namun, kesan pelaksanaan dasar cukai penggunaan baru-baru ini ke atas inflasi keseluruhan adalah bersifat sementara dan akan luput menjelang akhir tahun 2019. Inflasi asas pula dijangka kekal stabil secara relatif,” katanya di sini baru-baru ini.

Minggu lalu, BNM me­nge­kalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus setelah kadar itu dinaikkan pada Januari lalu.

Pada suku kedua 2018, inflasi mencatat kadar lebih rendah iaitu 1.3 peratus berbanding 1.8 peratus pada suku sebelumnya di­sebabkan terutama oleh pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Penurunan harga juga didapati menyeluruh dengan lebih 90 peratus daripada barangan yang sebelum ini dikenakan kadar cukai yang standard di bawah GST mencatat kejatuhan harga antara 0.06 peratus hingga 6.75 peratus.

Jumlah barangan dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) dengan kadar inflasi yang melebihi dua peratus menurun kepada 18 peratus pada suku kedua 2018 berbanding 28 peratus pada suku pertama 2018.

Menurut BNM, tahap kejatuhan harga pada Jun adalah lebih kecil daripada jangkaan dengan harga barangan berkadar standard dalam bakul IHP secara purata menurun sebanyak 2.3 peratus.

“Impak daripada pelaksanaan kadar sifar GST, bagaimanapun, diimbangi oleh inflasi pengangkutan yang lebih tinggi. Meski­pun harga runcit petrol RON95 domestik ditetapkan pada RM2.20 seliter sejak 22 Mac 2018, harga yang lebih rendah pada tempoh asas suku kedua,” katanya.

Kadar inflasi didapati menurun kepada 0.8 peratus pada Jun manakala 1.8 peratus pada Mei dan 1.4 peratus pada April.

Bagaimanapun, jelas BNM, tahap penurunan inflasi akan bergantung pada kesan pindahan daripada perubahan dasar cukai penggunaan terutama dengan pelaksanaan cu­kai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September.

“Inflasi keseluruhan dijangka kekal rendah sepanjang pelaksanaan kadar GST sifar, sebelum meningkat pada September selepas SST dilaksanakan,” katanya.

Prospek inflasi ini bergantung pada kesan pindahan daripada kadar GST sifar dan pelaksanaan semula SST.

“Bagi tahun ini, inflasi kese­luruhan mungkin lebih rendah daripada yang diramalkan sebelum ini. Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan perubahan pada dasar cukai penggunaan, dijangka kekal stabil secara relatif pada suku-suku tahun akan datang, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang mapan.

“Tekanan inflasi yang didorong oleh permintaan dijangka terus dibendung berikutan ketiadaan kekangan berterusan terhadap stok modal dan tekanan terhadap gaji,” katanya.