Pengerusi Outsourcing Malaysia (OM), David Wong Nan Fay berkata, sektor berkenaan berkembang kepada AS$2.2 bilion (RM9.35 bilion) pada tahun lalu berbanding AS$1.9 bilion (RM8.08 bilion) pada 2013.

Katanya, perniagaan perkongsian dan penyumberan luar (SSO) di bawah industri perkhidmatan perniagaan global (GBS) berada di tahap kukuh untuk memanfaatkan pasaran global bernilai AS$670 bilion (RM2.8 trilion).

Ujar beliau, Asia Pasifik menyumbang sebanyak 36 peratus daripada keseluruhan pasaran itu sekali gus memperlihatkan Malaysia mempunyai lebih banyak potensi untuk terus tumbuh.

“Bagi tempoh 2014 hingga 2019, GBS di rantau Asia Pasifik diunjur berkembang dengan pertumbuhan CAGR lima peratus kecuali Malaysia, India, Korea Selatan dan Singapura yang dijangka berupaya merekodkan CAGR sehingga 15 peratus.

“Pertumbuhan GBS akan dipacu oleh permintaan daripada sektor perkhidmatan perbankan dan kewangan, kerajaan, peruncitan dan industri perhotelan serta pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Teknologi Komunikasi Maklumat Malaysia (Pikom), Cheah Kok Hoong.

Terdahulu, OM melancarkan Laporan Prospek GBS 2015 dan diikuti majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Pusat Panggilan Malaysia (CCAM).

MoU di antara OM dan UKM itu bertujuan menghasilkan lebih ramai bakat dan tenaga mahir di dalam industri GBS.

Ia meliputi program latihan, penyelidikan bersama, pengumpulan data dan persidangan bagi merapatkan jurang di antara firma GBS dan institusi-institusi pendidikan tempatan.