Apatah lagi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan ia berjumlah RM1 trilion setelah mengambil kira pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka yang berjumlah RM201.4 bilion. 

Setakat akhir 2017, ia berjumlah RM686.8 bilion. Jumaat lalu, beliau sekali lagi menegaskan kadar hutang itu hanya berjaya dikurangkan minimum sahaja dengan parasnya masih mencecah

 

trilion ringgit. Bagaimanapun, data-data ini mengelirukan banyak pihak hingga ada yang mempertikaikan sama ia sahih ataupun tidak. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, DR. MOHD AFZANIZAM ABDUL RASHID menjelaskan perkara itu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON baru-baru ini.

Dakwaan mengenai paras hutang negara sama ada di bawah pemerintahan BN mahupun PH secara dasarnya boleh mengelirukan banyak pihak. Isu ini juga kerap berulang walaupun data rasmi dikeluarkan BNM baru-baru ini. Adakah data-data ini dimanipulasi?

Seharusnya tidak kerana data-data ini datangnya daripada sumber yang sah seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM). Pihak seperti agensi penarafan antarabangsa (Moody’s, Standard & Poor dan Fitch Rating) dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menggunakan data-data ini untuk membuat analisis mereka.

Analisis daripada agensi-agensi ini boleh dijadikan ukuran yang berimbang memandangkan ia merupakan pihak ketiga yang meneliti, mengkaji menganalisis ekonomi negara.

Sebenarnya berapa paras hutang negara?

Hutang rasmi kerajaan adalah RM741.1 bilion pada 2018 dan bersamaan dengan 51.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia adalah peningkatan berbanding RM686.8 bilion atau 50.7 peratus daripada KDNK pada 2017.

Selain itu, hutang yang dijamin kerajaan Persekutuan adalah RM258.9 bilion pada suku ketiga 2018 bersamaan 18.1 peratus daripada KDNK. Jumlah itu juga meningkat berbanding pada 2017 yang mana hutang dijamin ini adalah RM238 bilion atau 17.6 peratus.

Meskipun demikian, permintaan terhadap hutang kerajaan daripada para pelabur luar adalah tinggi. Sebagai contoh, terbitan terbaharu Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) pada 15 Februari 2019 adalah seba­nyak RM4 bi­lion dengan tempoh matang 10 tahun.

Terbitan SKM ini menerima respon yang baik daripada para pelabur hingga terlebih langgan sebanyak 2.5 kali. Selain itu, terdapat pegangan pelabur asing bagi instrumens SKM ini yang mana jumlah pegangannya adalah RM144 bilion, mewakili 37.6 peratus daripada nilai tertunggak pada Januari 2019.

Bagaimana pula takrifan hutang ini daripada kaca mata agensi penarafan antarabangsa?

Penarafan kredit kerajaan Malaysia adalah A3/A- yang diberikan oleh Moody’s, Standard & Poor dan Fitch. Penarafan ini adalah tinggi berbanding penarafan gred pelaburan yang minimum iaitu BBB. Terbaharu, Fitch mengumumkan bahawa penararan A- dikekalkan dengan tinjauan Stabil. Kekangan kepada penarafan antaranya adalah hutang kerajaan yang tinggi iaitu sekitar 62 peratus bagi 2019 dan 2020 yang mana nisbah ini adalah tinggi berbanding negara-negara yang mempunyai penarafan sama iaitu 49 peratus.

Adakah keadaan ini menje­jaskan imej negara di mata pelabur?

Buat masa ini, persepsi me­ngenai hutang kerajaan Malaysia masih lagi baik. Berdasarkan kontrak derivatif Credit Default Swap (CDS) yang bertempoh matang lima tahun, tebarannya adalah 71 mata asas pada 20 Februari 2019.

Ini adalah rendah jika di­ban­dingkan pada 491 mata asas semasa Krisis Sub Prima di Amerika Ssyarikat pada 2007 dan 2008. Tebaran atau spread bagi kontrak CDS ini menunjukkan risiko kredit atau risiko mungkir terhadap hutang yang diterbitkan oleh kerajaan.

Semakin tinggi tebarannya maka semakin tinggilah risiko mungkir dan begi­tulah sebaliknya.

Sebelum ini ke­rajaan terbitkan bon samurai, kemudian China tawarkan bon panda, mampukah kerajaan tangani kedua-duanya?

Hutang luaran ini adalah bertujuan untuk benchmar­king atau penanda aras terhadap keupayaan kerajaan Malaysia melunaskan hutangnya. Penanda aras ini kebiasaannya diukur melalui tebaran pulangan bon atau bond yield spread.

Penanda aras itu pula bergantung kepada mata wang hutang yang diterbitkan. Sekiranya, dolar Amerika Syarikat (AS), maka pe­nanda arasnya adalah bon perbendaharaan AS. Begitu jugalah dengan mata wang yang lain. Buat masa ini, komposisi hutang kerajaan dari segi mata wang, 97 peratus hutang kerajaan adalah dalam bentuk mata wang ringgit dan tiga peratus pula adalah mata wang asing. Sehubungan itu, isu penerbitan hutang luaran perlu dilihat dari segi untuk pembentukan penanda aras kredit.