Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, Honda Malaysia turut berada di kedudukan kedua bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) dengan me­nyumbang sebanyak 15.3 peratus jualan.

Menurut beliau, Mei menca­tatkan jualan tertinggi setakat ini iaitu 10,500 kenderaan.

“Model sedan segmen B, ­Honda City muncul penyumbang utama dengan jualan sebanyak 34 peratus diikuti model kenderaan utiliti sukan (SUV), HR-V (20 peratus) dan CR-V (14 peratus).

“Kami menjangkakan Jazz, City, Civic, HR-V, CR-V dan BR-V terus menjadi peneraju dalam segmen masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ishiyama, warna baharu Passion Red Pearl yang diperkenalkan untuk HR-V mendapat maklum balas positif daripada pasaran dan warna yang sama turut diper­kenalkan untuk Jazz, City, CR-V dan BR-V.

“Secara keseluruhan, warna Passion Red Pearl menjadi pilihan dan sangat popular di Malaysia. Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kepercayaan terhadap jenama Honda.

“Separuh pertama tahun ini sangat mencabar, tetapi menggalakkan untuk kami. Tempoh menunggu untuk model Honda kini adalah antara satu hingga dua bulan,” ujarnya.

Honda Malaysia turut me­lancarkan kempen Tech Frontier Rewards yang menawarkan Bonus Honda, Bonus Teknologi Bulanan dan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM5,000. ­Ganjaran tersebut untuk ke­semua model kecuali Civic Type R dan bermula dari 1 Julai hingga 30 September depan.