Menurut CSI Prop, prestasi hartanah di UK dan Australia yang kukuh dapat dilihat menerusi peningkatan harga rumah di dua negara berkenaan sekali gus memberikan pulangan pelaburan yang berbaloi kepada pelabur.

“Ini bermakna, pelaburan hartanah bernilai RM100,000 di Malaysia pada 1995 meningkat kepada RM350,000 pada 2018.

“Tetapi, bagi jumlah pelaburan yang sama, di UK atau Australia dalam tempoh sama, hartanah tersebut me­ningkat antara RM380,000 dan RM400,000. Jika anda mengambil kira keuntungan yang diperoleh daripada penghargaan mata wang, nilainya antara RM540,000 dan RM615,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CSI Prop berkata, sepanjang 25 tahun lalu harga purata hartanah di Malaysia dan Singapura menunjukkan peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding pelaburan dalam saham.

Bagaimanapun, ujarnya, pasaran perumahan tempatan menyaksikan penurunan harga secara progresif sejak beberapa tahun ini sekali gus memaksa pelabur mencari ­alternatif lain dalam pelaburan hartanah.

“Walaupun sebahagian besarnya berpunca daripada kebiasaan dan sentimen, tetapi ia juga disebabkan oleh daya tahan pasaran dan prestasi kukuh dari segi penghargaan modal dan pulangan penyewaan di kedua-dua negara ini.

“Dalam dua dekad lepas, UK dan Australia membuktikan ­prestasi yang kukuh dalam pe­ningkatan harga rumah berbanding beberapa negara lain, kecuali New Zealand,” kata­nya.

CSI Prop berkata, keadaan ekonomi ketika ini tidak begitu memberangsangkan sekali gus memberi petunjuk kepada rak­yat Malaysia untuk mempelbagaikan pelaburan.

“Pelaburan hartanah memberi pulangan jangka panjang yang kukuh. Namun, ia bergantung pada faktor tertentu, ter­utama waktu yang sesuai, lokasi dan jenis pelaburan.

“Apabila pelaburan hartanah dilakukan dengan be­tul, ia ­menawarkan pulangan ­mantap dan penghargaan modal dalam jangka panjang. Oleh itu, pelaburan hartanah lebih ­berharga berbanding pelaburan saham serta pelaburan lain yang memberi pulangan jangka masa pendek lumayan,” katanya.

Tambahnya, di samping penghargaan modal, pelabur yang melabur di luar negara ­turut mendapat keuntungan daripada kadar tukaran.

“Sejak 1995, mata wang ­Australia dan UK mengalami peningkatan 59 peratus dan 34 peratus berbanding ringgit, pelabur yang mengambil kesempatan di atas nilai mata wang ini mendapat pulangan yang baik,” katanya.