Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata, harga hartanah kediaman di kawasan utama dan terkenal di kawasan bandar raya dijangka terus mengukuh dengan peningkatan modal yang sederhana.

“Pembangunan berasaskan transit di sepanjang laluan LRT dan MRT dijangkakan terus me­ningkat ekoran perhubungan yang bertambah baik,” katanya menerusi laporan yang dilancarkan di sini hari ini.

Knight Frank, perunding hartanah bebas global, menilai pres­tasi harga rumah utama di 150 bandar raya di seluruh dunia, termasuk 47 di Asia Pasifik.

Laporan itu menyebut harga rumah global meningkat pada purata 6.6 peratus pada 2016, kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun, namun, tidak termasuk bandar raya di China, dengan indeks hanya meningkat 4.9 peratus pada 2016.

Kedudukan bandar raya di China dalam 10 bandar raya utama dunia dipinggirkan apabila Wellington, New Zealand mencatatkan peningkatan 23.7 peratus berbanding Shenzhen (23.5 peratus).

Ketua Penyelidik Asia Pasifik Knight, Frank Nicholas Holt berkata, penguasaan bandar raya utama China dalam ranking harga 12 bulan tertinggi, telah mendorong pembuat dasar mengambil langkah ‘penyejukan’ pasaran, menerusi sekatan pembelian rumah serta kriteria pinjaman yang lebih ketat.

“Tindakan ini serta beberapa lagi kawalan modal yang lebih ketat boleh mendorong lebih banyak modal mengalir masuk ke bandar yang lebih kecil di China, yang sebahagiannya kini meng­a­lami lebihan bekalan yang ke­tara,” katanya.

Menurut laporan itu, bandar raya di Australia terus menyaksikan peningkatan ketara harga, didorong oleh kadar faedah yang rendah dan kadar perbandaran yang kukuh.

Namun, peningkatan harga dijangkakan menyederhana di kebanyakan pasaran Australia sepanjang 2017 ekoran kriteria pinjaman bank yang lebih ketat selain permintaan luar yang me­nguncup. – BERNAMA