ZAHARI HUSIN
ZAHARI HUSIN

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, berdasarkan kepada struktur cukai baharu itu, hampir semua model Perodua berharga lebih rendah berbanding sebelum 1 Jun lalu.

“Kami ingin meng­ucapkan setinggi terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutama buat seramai 3.3 juta pe­langgan yang memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.

“Kami akan terus menawarkan harga yang kompetitif berdasarkan kepada sokongan padu yang ditunjukkan oleh orang ramai terhadap produk dan per­khidmatan Perodua,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Julai lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan SST akan diperkenalkan semula bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan akan ditetapkan pada kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

SST berkuat kuasa pada 1 September lalu.

Zahari berkata, inisiatif kerajaan merombak kadar cukai GST daripada enam peratus kepada sifar peratus buat rakyat Malaysia selama tiga bulan bermula 1 Jun lalu telah membawa kepada pe­ningkatan permintaan kenderaan.

Tambah beliau, orang ramai dijemput mengunjungi cawa­ngan Perodua di seluruh negara untuk bercakap dengan penasihat jualan dan perkhidmatan bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang tawaran produk dan perkhidmatan.

Sementara itu, Hon­da Malaysia turut mengumumkan harga baharu bagi rangkaian model keluarannya berikutan pelaksanaan SST pada 1 September lalu.

TOICHI ISHIYAMA
TOICHI ISHIYAMA

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, harga baharu itu termasuk kadar 10 peratus cukai jualan yang dikenakan terhadap kenderaan.

Katanya, model pemasangan tempatan (CKD) bagi model Jazz, BR-V, City, Civic, CR-V dan Accord berharga antara RM70,242 hingga RM169,398 sebuah manakala model kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) seperti Odyssey serta Civiv Type R masing-masing berharga RM258,896 dan RM330,002 sebuah.

“SST menetapkan kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan. Servis selepas jualan Honda Malaysia tertakluk kepada enam peratus cukai perkhidmatan untuk caj buruh.

“Honda Malaysia perlu menukar harga jualan dan perkhidmatan selepas jualan, susulan pelaksanaan SST. Kami sentiasa komited untuk menyediakan keseronokan membeli kepada para pelanggan bersama produk yang berkualiti dengan pelbagai ciri unik serta teknologi termaju,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Harga baharu kebanyakan model Honda sedikit meningkat selepas tempoh cuti cukai, namun peningkatan itu masih rendah jika dibandingkan semasa GST.