Berdasarkan Indeks Pasaran PropertyGuru, indeks harga pada suku kedua meningkat 0.8 peratus kepada 86.2 mata berbanding 85.4 mata pada suku pertama tahun ini.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, sentimen pembelian yang lebih baik adalah disebabkan inisiatif seper­ti Kempen Pemilikan Rumah (HOC), pengecualian duti setem dan semakan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia.

Jelas beliau, faktor-faktor berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan harga permintaan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor.

“Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk mengatasi tekanan penurunan di Johor termasuk larangan penjualan hartanah kepada orang asing yang dicadangkan untuk projek terpilih pada suku ketiga 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fernandez, kemerosotan yang lebih meluas adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan yang berterusan antara bekalan dan permintaan yang mana permintaan adalah untuk hartanah mampu milik, tetapi pembangunan yang dilancarkan atau yang dalam perancangan adalah projek-projek mewah.

“Secara umum­nya, pencari rumah mencari hartanah di bawah RM500,000 di Lembah Klang. Sentimen lebih positif boleh dilihat apabila bergerak keluar dari pusat bandar memandangkan suku kedua menunjukkan harga permintaan telah meningkat pada suku ketiga di Selangor secara berturut-turut.

“Peningkatan tahun ke tahun untuk bekalan dari suku kedua 2018 hingga suku kedua tahun ini meningkat sebanyak 42 peratus mencerminkan bahawa penjual lebih yakin dengan pasaran kerana permintaan meningkat dari tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Fernandez berkata, harga permintaan untuk kediaman di Johor bergerak pada arus bertentangan yang mana ia adalah satu-satunya negeri dengan trajektori pertumbuhan yang meningkat sejak 2015 dan berakhir dengan penurunan 0.5 peratus suku ke suku pada suku kedua 2019.

“Perkembangan jangka panjangnya boleh dikaitkan dengan pelaburan yang berat dan konsisten di koridor ekonomi Iskandar Malaysia dan terdapat peningkatan sebanyak 118 peratus dalam jumlah bekalan pada suku kedua. Ini menunjukkan bahawa hartanah Johor sedang mengalami kadar pengambilan yang baik dan harga pula sudah mula menyesuaikan diri,” jelasnya.