Presidennya, Dr. Jamal Yusuf berkata, buat masa ini, cadangan tersebut masih diteliti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

Katanya, pelepasan cukai tersebut membolehkan industri OSV bergerak lebih kompetitif dan bersaing dengan pemain industri dari negara yang lain.

“Kami berharap insentif cukai ini dapat dilaksanakan tahun depan kerana ketika ini pembina kapal perlu membayar cukai korporat manakala krew marin luar pesisir pula membayar cukai individu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja Jangkaan Pemilik Kapal - Pembinaan OSV Malaysia pada Forum Industri Marin Kebangsaan 2014 yang dirasmikan Pengarah Kanan Sektoral Polisi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Haswani Harun di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) dan Pengerusi Institut Maritim Malaysia (MIMA), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman.

Forum tersebut yang dihadiri 100 peserta terdiri daripada pemain industri minyak dan gas, agensi kerajaan, ahli akademik dan penyelidik menjadi platform untuk menerokai sektor minyak dan gas luar pesisir.

Dalam pada itu, Jamal berkata, Malaysia secara dasarnya ketinggalan dari segi teknologi bagi kemudahan terkini limbungan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berbanding Indonesia, China dan Singapura.

“Bagaimanapun, Malaysia tidak memiliki keupayaan ini kerana kita kekurangan teknologi dan R&D untuk membina kapal berteknologi tinggi disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kekurangan tenaga profesional seperti jurutera yang banyak berhijrah ke Singapura,” katanya.