Salah seorang ahlinya serta pengasas Lace Motor Sdn. Bhd., Datuk Rokiah Omar berkata, sekiranya langkah tersebut dapat dipertimbangkan kerajaan, ia pasti dapat membantu pengusaha kenderaan import terpakai kembali bertapak di dalam negara.

Ujarnya, sejak bayaran levi tersebut diperkenalkan pada 2010, ia sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan pengusaha kenderaan import terpakai.

“Pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) selain kejatuhan nilai ringgit ekoran ketidakstabilan ekonomi dunia ketika ini turut memberi kesan kepada perniagaan kami.

“Sehubungan itu kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan untuk memansuhkan bayaran levi sebanyak RM10,000 bagi setiap AP kenderaan import terpakai,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pekema merupakan persatuan gabungan pengusaha-pengusaha kenderaan Melayu yang berhasrat memaju dan meningkatkan taraf ekonomi bumiputera melalui perdagangan kenderaan terutamanya kereta import terpakai.

Tambah Rokiah, pihaknya turut berharap ahli Pekema diberikan hak sama rata seperti yang dinikmati pemegang francais kerana dasar import kenderaan baharu dari luar negara seperti Jepun tidak dikenakan sebarang cukai.

“Pengusaha kereta import terpakai seperti kami terpaksa menanggung duti import, duti eksais serta levi yang dikenakan.

“Oleh itu kami berharap dasar hak sama rata dikenakan terhadap pengimport kenderaan baharu dan pengimport kenderaan terpakai,” ujarnya yang pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pekema selama 13 tahun sebelum ini.

Rokiah yang sudah berkecimpung dalam industri automotif sejak 1979 bagaimanapun berterima kasih dengan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berterusan menyokong dengan memansuhkan cadangan penghapusan AP.

“Langkah kerajaan meneruskan dasar AP terbuka disambut baik kerana tindakan tersebut diyakini dapat membantu pengusaha bumiputera yang terlibat dalam industri automotif negara,” katanya.