Sambil merujuk kepada dilema yang dihadapi oleh pemilik AP motosikal berkuasa tinggi, Ahli Jawatankuasa Pusat Pekema, Datuk SM Zulkifli SM Amin menjelaskan bahawa disebabkan dasar yang tidak sama-rata, ada usahawan bumiputera `gulung tikar’ dan berpotensi `gulung tikar’.

Pada masa sama, SM Zulkifli memberitahu, penting untuk pemilik AP diberi layanan yang sama rata dengan syarikat francais kerana inilah masanya usahawan Melayu, bumiputera belajar selok-belok perniagaan motosikal berkuasa tinggi dan bersaing.

Jelas SM Zulkifli, tolak ketepi dahulu rancangan menggalakkan usahawan bumiputera terus berkecimpung dalam industri francais motosikal berkuasa tinggi kerana risikonya sangat besar, sekiranya tiada pengalaman terdahulu.

“Kebimbangan Pekema ialah apabila melihat situasi semasa, ada syarikat AP Terbuka dan francais yang gulung tikar. Selepas itu, ada pula usahawan yang baru berkecimpung dalam industri automotif ini berkorbar-kobar cuba nasib dalam sektor AP Terbuka francais tanpa mengambil kira pengalaman serta kegagalan syarikat terdahulu.

“Menerusi Dasar AP Terbuka, mereka akan belajar selok-belok perniagaan, asam garam menguruskan import eksport serta pemasaran motosikal. Kalau terus masuk ke dalam industri dan mahu mendapatkan francais, saya fikir itu langkah pertama ke arah kegagalan.

“Pokoknya kita perlu sokong Dasar AP Terbuka terlebih dahulu, beri layanan sama rata, barulah usahawan kita dapat bersaing, sekali gus menjamin masa depan yang cerah kepada usahawan bumiputera dalam sektor automotif,” katanya ketika ditemui Pekema Auto dan Industri baru-baru ini.

Mengulas lanjut, SM Zulkifli memberitahu, Dasar AP Terbuka ini bukan sahaja membantu bumiputera tetapi pada masa sama turut merancakkan industri hiliran dan pelancongan.

Katanya, bukan sahaja aksesori motosikal, tetapi dasar AP Terbuka membantu menjana pendapatan menerusi penglibatan bumiputera secara menyeluruh.

“Saya ambil contoh, bukan sahaja bumiputera boleh menjana pendapatan daripada bengkel motosikal, tetapi aksesori lain seperti t-shirt dan sebagainya. Ini termasuk juga sektor pelancongan.

“Kalau kita lihat, kelab-kelab motosikal ini juga membantu menjana pendapatan kepada peniaga gerai dan restoran bumiputera. Setiap kali kelab-kelab ini menganjurkan program, mereka pasti akan singgah ke kedai-kedai makanan dan restoran, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pemilik perniagaan tersebut. Selain itu, kelab-kelab ini juga membantu mempromosikan pelancongan menerusi media sosial dengan memuat naik gambar kawasa dilawati mereka di laman sosial,” jelas beliau.