Ketua Dasar Airbnb untuk Asia Tenggara, Mich Goh berkata, tindakan itu bertentangan dengan matlamat pertumbuhan pelancongan Malaysia serta kerja-kerja Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan inovasi.

“Isu paling penting dan utama untuk pelancongan Malaysia sekarang adalah pertumbuhan. Bagaimana Malaysia akan berkembang dan mempelbagaikan pelancongan? Bagaimana Malaysia akan mencapai matlamat pelancongan pada tahun 2020?.

“Sudah cukup mencabar untuk mencapai matlamat tinggi pelancongan Malaysia tanpa beban tambahan daripada proses birokrasi yang tidak perlu. Hakikatnya tindakan menghadkan pada sewa jangka pendek akan membantutkan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Goh, menghadkan sewa jangka pendek bermaksud pelancong semakin kurang pilihan untuk tempat menginap.

Jelasnya, kurang pilihan bermakna kurang pelancong dan kurang pertumbuhan pelancongan.

“Ini juga akan memberi kesan kepada keluarga-keluarga Malaysia, perniagaan kecil dan masyarakat yang bergantung kepada sewa jangka pendek.

“Walaupun langkah ini mungkin sesuai untuk bandar-bandar di negara yang mempunyai masalah kemampuan perumahan, ia tidak sesuai untuk Malaysia yang perlu mengembangkan industri pelancongan selain mempunyai isu lebihan bekalan rumah,” katanya.

MPC sedang mempertimbangkan cara terbaik untuk mengawal sewa jangka pendek. MPC telah berunding dengan pihak berkepentingan tentang draf rangka kerja pengawalseliaan.

Sebagai sebahagian daripada perundingan ini, Persatuan Hotel Malaysia telah memohon menghadkan sewa jangka pendek. Tindakan itu akan menghadkan bilangan malam hos Malaysia boleh menyewa atau berkongsi rumah mereka dalam setahun.

Permintaan persatuan itu dibuat selepas data pelancongan baru mendedahkan bilangan ketibaan pelawat ke Malaysia jatuh daripada 25.9 juta pada 2017 kepada 25.8 juta pada 2018.

Mengenai peraturan yang adil, Goh berkata, Airbnb telah bekerjasama dengan kerajaan di seluruh Asia dan dunia untuk membuat peraturan adil bagi penyewaan jangka pendek yang merangsang perkembangan industri pelancongan.

“Pengalaman kami menunjukkan bahawa perkembangan dalam industri pelancongan dan kawalan terhadap sewa jangka pendek tidak perlu bertukar ganti. Jika kerajaan dapat mencari keseimbangan yang baik, industri pelancongan boleh bertumbuh dengan lebih rancak di samping mengawal sewa jangka pendek dengan adil.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan kerajaan dan MPC untuk membangunkan peraturan-peraturan adil yang boleh membantu menumbuhkan pelancongan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE