Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah hari­an pada 1,804.25 susut 40.78 mata akibat tekanan jualan besar-besaran oleh kebanyakan saham wajaran tinggi pada hari berkenaan.

Ketidaktentuan bursa saham tempatan yang menyaksikan naik turun jualan dana asing di Bursa Malaysia menjadi tanda tanya apakah punca sebenar yang membimbangkan para pelabur asing.

Tahukah anda bahawa ‘pembongkaran’ oleh kementerian kewangan berkaitan kedudukan hutang negara yang mencecah RM1 trilion telah mencetuskan kegusaran pasaran dan meningkatkan ketakutan pelabur?

Ya, kerajaan baharu berjanji untuk sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam menyelesaikan bebanan hutang negara tetapi bagaimana mahu menyelesaikan hutang sekiranya pelabur asing lari?

Agenda bagi mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam masa sama memastikan pelabur mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan perlu menjadi tumpuan utama kerajaan berbanding mencari salah laku pentadbiran kerajaan terdahulu.

Keputusan terburu-buru kepemimpinan Pakatan Harapan untuk mengumumkan pembatalan projek mega dan kemudiannya mahu mengkaji semula merupakan satu tindakan yang tidak matang dan kebudak-budakan.

Projek mega Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Si­ngapura (HSR) bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh sebuah negara sahaja, sebaliknya telah melalui kajian terperinci terhadap manfaatnya untuk rakyat dan negara.

Kerajaan seharusnya berfikir panjang dan melakukan kajian semula terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman pembatalan.

Bagaimana pula dengan faktor luar? Pergerakan pasaran saham tempatan juga turut dikaitkan dengan pasaran serantau di Asia terutamanya membabitkan pasaran saham Korea dan China yang ditutup rendah manakala ekuiti Jepun ditutup tinggi.

Kebelakangan ini, situasi suram itu banyak dikaitkan dengan perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang antara lainnya memberi kesan langsung terhadap Malaysia pada jangka masa panjang.

Majoriti penganalisis berpendapat perang dagangan tersebut menjejaskan eksport memandangkan beberapa negara di Asia mempunyai hubungan dagang yang besar dengan China.

Mungkin ada yang melihat bahawa perang dagangan di antara dua ekonomi besar itu tidak akan memberi impak secara terus, tetapi ia telah mencetuskan gelombang untuk mengetatkan dasar-dasar global, pengukuhan harga mi­nyak dan keadaan politik di peringkat domestik seterus­nya menjejaskan prospek pertumbuhan di rantau ini.

Walaupun perang dagang tersebut mewujudkan pera­saan bimbang dalam kala­ngan pelabur, faktor domestik juga perlu diambil kira apabila pelabur asing bertindak menjual ekuiti dalam pasaran saham tempatan dengan jumlah yang agak besar semenjak penubuhan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum Mei lalu.

Yang pasti, kombinasi faktor luar dan dalaman telah membawa kepada peningkatan aliran keluar asing ke tahap tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Jualan dana asing di Bursa Malaysia mencatat pengeluaran sebanyak RM531.8 juta pada minggu berakhir 13 Julai lalu, berbanding RM704.3 juta pada minggu sebelumnya. Kadar aliran keluar dana modal itu kini semakin perlahan pada Isnin.

Berdasarkan pemantauan MIDF Research, berbanding Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia, keadaan di Malaysia merupakan aliran keluar kedua terendah iaitu sebanyak AS$2 bilion (RM8.01 bilion) setakat tahun ini.

Thailand adalah negara dengan jumlah aliran keluar dana asing tertinggi dalam kalangan pasaran ASEAN de­ngan jumlah sehingga AS$6.11 bilion (RM24.68 bilion).

Dalam hal ini, usaha untuk meningkatkan keyakinan para pelabur perlu diberi ke­­­utamaan dan dilaksanakan oleh kerajaan menerusi pengena­lan dasar-dasar yang lebih jelas khususnya membabitkan aspek fiskal. Berhentilah mengeluarkan kenyataan seolah diri masih pembangkang.