Menteri Tenaga, Teknologi Hi­jau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, GTMP menggariskan rangka stra­tegik bagi pembangunan teknologi hijau dan pertumbuhan ekonomi dengan penggunaan karbon yang rendah serta sumber efisien.

Katanya, pelan induk berkenaan membolehkan kerajaan menyediakan kerangka kerja yang konsisten bagi menyelaras matlamat strategik para pemegang kepentingan di Malaysia.

Jelas beliau, langkah itu membolehkan usaha bersepadu untuk memanfaatkan teknologi hijau bagi mengimbangi keperluan pertumbuhan teknologi pada masa yang sama memelihara alam sekitar.

“Pelan induk ini juga akan menghasilkan keputusan jangka panjang yang berkesan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pemba­ngunan teknologi hijau global selari dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“GTMP akan memfokuskan kepada enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, bangunan, pengangkutan, pembuangan dan air untuk membina kesedaran, peluang pasaran serta memper­kemas rangka kerja institusi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM 2017) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Techno­logy Corporation (GreenTech), Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin.

IGEM 2017 yang diadakan selama tiga hari sehingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah kerjasama antara KeTTHA dan GreenTech dengan tema ‘Memperkasa Bandar Hijau’ serta berpotensi menjana pelaburan dan perniagaan sehingga RM1.6 bilion.

Dalam perkembangan lain, Ong­kili turut merasmikan pra­pelancaran Sidang Kemuncak Te­naga Lestari Antarabangsa (ISES) keempat yang akan diadakan di Pullman Hotels and Resorts, Kuching, Sarawak pada 10 dan 11 April 2018.

ISES 2018 anjuran Pihak Ber­kuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia memilih Sarawak berikutan sumbangan tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah berskala besar di negeri berkenaan.