MIDF Research berkata, jika harga minyak melonjak dan mencecah AS$75 (RM302.55) setong, dijangka satu peratus lagi kadar GST akan dikurangkan dan dalam masa sama mengekalkan sasaran pengukuhan fiskal semasa.

Katanya, kerajaan telah membuat penjelasan sewajarnya bahawa pelaksanaan GST dengan kadar enam peratus pada April tahun lalu untuk memperluaskan asas cukai dan mengukuhkan pelan fiskal.

“Langkah itu walaupun tidak popular mampu menangani keku­rangan dalam pendapatan kerajaan disebabkan harga minyak turun mendadak sejak pertengahan 2014 dan turut mendapat pengesahan global daripada badan penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan Fitch Ratings.

“Berdasarkan anggaran kami, kutipan GST pada 2017 dengan kadar lima peratus ialah RM35 bi­lion manakala hasil minyak pula sekiranya mencecah AS$55 setong akan menyumbang RM34.5 bilion kepada hasil kerajaan,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Sehingga 8 Mei lalu, GST yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah membawa hasil sebanyak RM27.31 bi­lion kepada kerajaan dan jumlah tersebut menunjukkan pening­katan pendapatan sebanyak 88.34 peratus atau RM12.81 bilion berbanding semasa pelaksanaan SST pada tahun sebe­lumnya.

Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen Mei lalu menunjukkan pengurangan hasil cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan syarikat dan royalti petroleum, masing-masing sebanyak RM15.4 bi­lion, RM1.56 bilion dan RM1.39 bilion telah menyumbang kepada pengurangan hasil kerajaan pada 2015.

Bagaimanapun, MIDF Research mengunjurkan harga minyak kekal berlegar pada AS$45 (RM181.53) setong sepanjang tahun ini. Untuk separuh pertama tahun ini, minyak mentah Brent berlegar pada purata AS$39 (RM157.33) setong. Sehingga semalam, harga Bren melonjak 40.8 peratus untuk mencapai paras tertinggi iaitu AS$52.5 (RM211.79) setong.

Jelas firma penyelidikan itu, sekalipun anggaran Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan secara purata GST menyumbang 0.7 mata peratus kepada tahap inflasi tetapi berdasarkan pemerhatian mereka, kadarnya lebih tinggi iaitu 1.1 mata peratus.

“Walaupun kami tidak menjangkakan sebarang pengurangan yang signifikan dari segi harga barang tetapi sekiranya GST dikurangkan, kami percaya paras inflasi dapat diturun­kan sekali gus membantu meningkatkan penggunaan swasta,” katanya.

Di sebalik perdebatan dalam kalangan pakar ekonomi tentang keperluan kerajaan untuk campur tangan dalam ekonomi, MIDF Research berpendapat, langkah pengukuhan fiskal dapat memberi kesan yang sama dalam dasar pe­nguncupan.

“Dengan mengambil kira per­sekitaran ekonomi semasa ter­utama dengan kelemahan aktiviti perdagangan global, kami percaya bahawa pengembangan dasar fiskal harus digunakan untuk menyokong ekonomi domestik dalam jangka pendek,” katanya.