Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Saw Lip Teik berkata, pihaknya juga berada di peringkat peluasan untuk memenuhi permintaan pasaran sedia ada terdiri daripada 26 negara termasuk Australia, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, China dan beberapa negara Asia Barat.

“Australia masih merupakan pasaran utama kami diikuti United Kingdom dan Eropah, Malaysia serta Singapura,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini bersama pasukannya termasuk Pengarah Komersial Kumpulan, Rosy Ng dan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Tang Cho Sun.

Produk Golden Fresh telah diperakui oleh pelbagai agensi domestik dan antarabangsa selain memperoleh sijil perakuan halal Malaysia di samping pensijilan daripada Majlis Pengawasan Akuakultur dan Majlis Pengawasan Marin bagi semua produknya.

Golden Fresh menawarkan lebih 300 produk termasuk filet ikan bersalut tepung rangup, jejari ikan, ketulan sotong bergaram dan berlada serta udang tempura.

Pelanggan syarikat ini termasuk gedung perabot Sweden, IKEA serta rangkaian pasar raya Aldi dan Carrefour.

“Kapasiti pengeluaran kami kira-kira 14,000 tan setahun dan kami merancang untuk meningkatkan kepada kira-kira 17,000 tan bagi memenuhi pertumbuhan bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Berikutan kelembapan ekonomi global, Lip Teik berkata, syarikat berkembang secara berhati-hati dalam pasaran sedia ada menerusi pengenalan barisan produk yang berbeza. - BERNAMA