Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, sebagai peneraju dalam industri tersebut pihaknya mahu meletakkan perniagaan mereka iaitu sebagai pemegang Permit Import (AP) di satu tahap yang kukuh sebelum diserahkan kepada generasi kedua.

Beliau yakin, jika generasi muda ini memandang serius dalam perniagaan yang diwarisi mereka tersebut, generasi ini juga akan terus berjaya dan seterusnya memastikan Pekema kekal maju pada masa depan.

“Kami berharap generasi kedua ini akan mengambil alih perniagaan-perniagaan yang diwarisi oleh keluarga. Bagi generasi lama yang akan meninggal bidang ini, kami akan memastikan perniagaan ini diletakkan pada tahap yang baik supaya ia tidak menyusahkan generasi kedua apabila mengambil alihnya.

“Bukan mudah sebenarnya untuk membangunkan perniagaan ini yang sudah berpuluh tahun. Kini kita telah bina pada tahap yang boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui Pekema Auto & Industri di sini baru-baru ini.

Pekema telah ditubuhkan pada 1981 yang bermula dengan 48 syarikat ahli dan terus berkembang dengan jumlah keahlian kini mencecah 250 syarikat meliputi 100 pemegang AP kereta, 65 motosikal dan selebihnya adalah pengedar.

Misi persatuan adalah menyatu-padukan pengimport, penjual, peniaga, dan pengusaha kereta, lori dan motosikal terpakai dan baharu serta mereka-mereka yang terlibat dalam perusahaan kereta untuk kepentingan dan faedah ekonomi orang-orang Melayu.

Pemberian AP merupakan sebahagian daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1971 iaitu satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak.

Melalui DEB, kerajaan mewujudkan pelbagai perniagaan bagi membantu nasib orang Melayu termasuklah dalam sektor automotif.

Zainuddin berkata, beliau percaya generasi muda yang bakal mewarisi perniagaan AP ini juga dapat melebarkan sayap mereka ke bidang-bidang lain dan bukannya terhad kepada perniagaan automotif sahaja.

Beliau mengambil contoh ahli-ahli Pekema lain yang bukan sahaja berjaya dalam perniagaan automotif tetapi kini sudah mempunyai bangunan-bangunan sendiri di ibu kota dan juga memiliki hotel.

“Generasi muda juga dapat mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja bidang automotif. Apabila mereka berjaya dalam bidang ini, mereka dapat memperluaskan perniagaan ke dalam bidang-bidang lain yang seterusnya akan memperkasakan lagi ekonomi orang Melayu,” ujarnya.