Bekas Presiden Persatuan Pe­maju Harta­nah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ng Seing Liong berkata, bagaimanapun, masalah itu hanya melibatkan hartanah mewah di kawasan-kawasan bandar yang menyaksikan harga melambung tinggi hingga sukar menarik pembeli.

Katanya, situasi gelembung hartanah secara dasar­nya tidak membimbangkan kera­na masih terdapat kekurangan bekalan bagi rumah mampu milik di negara ini terutama dalam memenuhi ke­perluan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Gelembung hartanah hanya akan berlaku sekiranya terdapat lebihan bekalan dalam hartanah mewah yang bernilai berjuta ringgit. Apa yang penting ketika ini adalah memenuhi keperluan B40 dan kami di REHDA bersedia be­kerjasama dengan kerajaan dalam usaha menyediakan rumah mampu milik (harga sekitar RM200,000 hingga RM300,000).

“Kerajaan juga komited untuk membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara bagi B40 dan memperkenalkan pelbagai ini­siatif antaranya Skim MyDeposit dan Perumahan Rak­yat 1Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar Ekspo Harta­nah Malaysia (Mapex) 2017 di sini hari ini.

Januari lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata gelembung hartanah dikhuatiri terjadi sekiranya isu hartanah yang tidak terjual di negara ini tidak diatasi segera.

Dalam Buletin Suku Tahun Bank Negara Malaysia (BNM) bagi Suku Keempat 2017 yang dikeluar­kan Februari lalu menunjukkan ketidakpadanan-bekalan-permin­taan yang meruncing, jumlah rumah kediaman yang tidak terjual di Malaysia adalah yang ter­tinggi dalam tempoh sedekad iaitu 146,4977 buah pada suku kedua 2017, meningkat daripada 130,690 buah pada suku pertama 2017.

Pada suku kedua 2017, hampir 82 peratus daripada unit yang tidak terjual merupakan rumah berharga lebih daripada RM250,000. Isu kemampuan mem­­beli rumah di Malaysia timbul disebabkan ter­utama oleh ketidakpadanan bekalan permintaan dan pertumbuhan pendapatan yang le­bih perlahan berban­ding harga rumah.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lebihan bekalan bagi hartanah komersial, Seing Liong berkata, keadaan itu hanya berlaku melibatkan kawasan di lokasi kurang strategik tetapi bagi lokasi utama seperti Mid Valley, Pavilion dan KLCC, permintaan masih baik dan sentiasa meningkat.

“Sekiranya di kawasan yang kurang menjadi tumpuan dan mempunyai penduduk, pastinya pemaju akan berdepan dengan masalah tersebut. Dalam erti kata lain soal lokasi, harga dan kemampuan adalah amat penting bagi mengelakkan masalah lebihan bekalan ini berlaku,” katanya.

Mengenai Mapex 2018, beliau yang juga Pengerusi Penganjur Mapex berkata, Rehda menyasarkan dapat mencatat jualan berjumlah RM500 juta tahun ini berbanding RM200 hingga RM300 juta tahun lalu melalui penawaran hartanah kediaman dan komersial.

“Kita juga berharap tahun ini dapat menarik penyertaan antara 70 hingga 80 pemaju dengan sasaran 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran Mapex mulai 27 hingga 29 April ini,” katanya.

habiss//