Erpha Ahdayani Othman, 41, sememangya mengagumi kehalusan serta keindahan pakaian anak patung sejak kecil lagi, malah beliau pernah 'curi-curi' menggunakan mesin jahit ibunya bagi menghasilkan gaun anak patung ketika baharu berusia 10 tahun.

Antara koleksi penghasilan ratusan gaun Silkstone Barbie sejak
Antara koleksi penghasilan ratusan gaun Silkstone Barbie.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Erpha berkata beliau memberi tumpuan menghasilkan gaun anak patung jenis 'Silkstone Barbie', bukan patung mainan biasa untuk kanak-kanak sebaliknya ia adalah 'collector s items' dan bersifat lebih ekslusif.

"Minat menjahit gaun anak patung ini sentiasa ada dalam diri, tetapi hobi ini sudah lama ditinggalkan namun beberapa tahun kebelakangan ini saya asah kembali kemahiran menjahit gaun anak patung Barbie ini. Bukan itu sahaja, setiap gaun yang dihasilkan saya buat rekod dari segi ukuran serta rekaan," katanya.

Menurut Erpha, sejak kembali aktif menjahit, dia sudah menghasilkan ratusan gaun Silkstone Barbie dengan pesanan terbesar di terima dari pelanggan di Amerika Syarikat.

"Menjahit gaun yang kecil perlu ada kemahiran, sekiranya tersilap satu milimeter (mm) gaun tersebut akan jadi besar. Saya boleh siapkan sehelai gaun dalam tempoh sehari namun tumpuan perlu diberi sepenuhnya semasa menjahit, pola jahitan perlu betul supaya mutu pakaian terjaga," katanya.


Erpha yang berasal dari Kampung Dagang, Bekenu, selain teknik jahitan jenis fabrik yang digunakan juga perlu diberi perhatian dalam setiap tempahan.


"Saya gunakan pelbagai jenis fabrik termasuk kain sutera dan kapas. Jenis fabrik yang digunakan perlu mengambil kira warna sama ada gelap atau terang yang akan mempengaruhi semasa menjahit.


"Selain itu pensil mekanikal yang digunakan juga perlu terang supaya 'stroke' nanti jelas supaya tidak terlebih potong atau terkurang," katanya.

Berkongsi rahsia menghasilkan gaun yang mampu menarik perhatian pelanggan, Erpha berkata jenis fabrik dan corak juga memainkan peranan penting supaya hasil jahitan sesuai dengan anak patung Silkstone Barbie.

"Antara rekaan gaun yang biasa saya hasilkan ialah 'pencil skirt' dan 'vintage dress' ataupun 'classic dress'. Setiap satu gaun yang saya hasilkan dijual antara harga RM150-RM200, harga juga bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan.

"Pereka pakaian anak patung tidak ramai, rekaan mungkin sama tetapi jenis fabrik yang digunakan serta hasil jahitan yang membezakan hasil tangan setiap tukang jahit," katanya mengakhiri temu bual. -BERNAMA