Huynh Thanh Phong

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FWD, Huynh Thanh Phong berkata, syarikat kini adalah pemegang saham terbesar dalam usaha sama tersebut.

Menurut beliau, semua sijil takaful yang dikeluarkan oleh HSBC Amanah Takaful akan dipenuhi oleh FWD Takaful.

“Malaysia menandakan satu lagi kemasukan ke pasaran dan pencapaian strategik yang penting dalam perjalanan perniagaan kami.

“Kami menyedari potensi perkembangan yang sangat besar di Malaysia dan teruja untuk bekerjasama dengan pasukan baharu bagi mengembangkan perniagaan dan capaian melalui pelaburan jangka panjang serta pelaksanaan strategi berpandukan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Thanh Phong, FWD sedang meninjau semua peluang pembangunan yang ada dan komited menghasilkan pengalaman baharu untuk pelanggan di Malaysia.

Sementara itu, FWD Takaful melantik Salim Majid Zain sebagai CEO dan berperanan untuk mengetuai, menyelia dan mengembangkan semua aspek perniagaan.

Salim berkhidmat sebagai CEO di Zurich Takaful Malaysia selama 12 tahun sebelum menyertai FWD.

Menurut Salim, terdapat banyak peluang pasaran dalam sektor takaful di Malaysia untuk diteroka.

“Saya berazam untuk mencatatkan pelbagai pencapaian baharu dan kejayaan untuk perniagaan takaful di Malaysia bersama pasukan di samping sokongan pasukan eksekutif FWD,” katanya. - UTUSAN ONLINE