Mereka membuat pelaburan atau perdagangan saham tanpa membuat perkiraan untung dan rugi. Mereka tiada formula untuk dijadikan garis panduan.

Mempunyai sistem atau formula yang baik juga dapat mendisiplinkan pelabur dan pedagang saham, Mereka dapat mengurangkan risiko kerugian apabila membuat urus niaga atau melabur dalam saham.

Kita ambil contoh, seorang pelabur atau pedagang saham mempunyai wang tunai sebanyak RM20,000 untuk dijadikan modal permulaan. Sebagai pelabur atau pedagang saham baharu, anda digalakkan menggunakan jumlah itu tanpa membuat penambahan di masa hadapan.

Modal permulaan tidak boleh ditambah

Modal permulaan ini haruslah digunakan sepanjang setahun membuat urus niaga sama ada untuk transaksi jangka pendek atau sederhana. Gunakan modal RM20,000 dan jangan tambah lagi dalam masa setahun. Tempoh setahun ini adalah untuk melihat hasil serta mendapatkan rentak dalam pelaburan saham. Ini kerana untuk mendapatkan pengalaman dalam dunia saham tidak boleh dibuat dalam tempoh singkat.

Setiap keuntungan yang dijana daripada modal RM20,000 itu hendaklah dikeluarkan dan jangan dimasukkan kembali ke dalam akaun amanah atau trust account. Pelabur atau pedagang saham boleh menggunakan semua keuntungan daripada modal RM20,000 itu untuk berbelanja ataupun menyimpannya.

Rekodkan segala keuntungan

Terpulang kepada kehendak masing-masing dengan syarat segala keuntungan yang diperoleh hendaklah direkodkan. Ia bertujuan supaya pelabur dan pedagang saham tahu berapakah keuntungan yang telah dijana dalam masa setahun dengan menggunakan modal sebanyak RM20,000.

Sebagai contoh, dalam sebulan anda telah membeli saham berjumlah RM10,000 daripada jumlah RM20,000. Selepas dua minggu harga saham yang dibeli telah naik. Maka anda menjualnya dan perbezaan harga beli dan jual selepas ditolak kos-kos yang terlibat ialah sebanyak RM500.

Keuntungan sebanyak RM500 itu akan dibayar bersama modal yang digunakan iaitu sebanyak RM10,000 setelah ditolak dengan caj-caj yang terlibat sekiranya penjualan bukan dalam tempoh kontra seperti di dalam kes ini. Jika transaksi beli dan jual saham dalam tempoh kontra, anda akan dibayar jumlah untung bersih yang dinamakan sebagai untung kontra. Untung tersebut akan dibayar dalam bentuk cek.

Anda boleh mengarahkan dealer atau remisier untuk mengeluarkan sejumlah RM500 tersebut untuk dimasukkan ke dalam akaun bank dan masukkan semula modal RM10,000 ke dalam akaun amanah.

Sesetengah broker secara automatik memasukkan nilai penjualan saham tersebut ke dalam akaun amanah dan pelanggan perlu memberi arahan untuk dikeluarkan semula jumlah yang dikehendaki.

Anda perlu ulangi proses beli dan jual ini termasuk juga proses mengeluarkan segala keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan modal RM20,000 sehinggalah genap setahun.

Perlu diingatkan juga, sekira­nya dalam proses jual beli ini anda telah kerugian, maka ia perlu dicatatkan. Pada akhir catatan tersebut, anda perlu menjumlahkan untung bersih daripada semua transaksi yang dibuat.

Berhenti seketika daripada membeli saham

Anda perlu berhenti seketika daripada membeli saham yang lain apabila pulangan pelaburan telah mencapai 5 peratus nilai saham. Tempoh berhenti seketika ini ialah apabila anda memperoleh pulangan pelaburan sebanyak 5 peratus dalam tempoh sebulan.

Sebagai contoh, anda membeli satu saham syarikat tersenarai ABC yang bernilai RM10,000 daripada modal asal RM20,000. Selepas dua minggu anda memegang saham syarikat ABC, harganya naik dan memperoleh keuntungan sebanyak 5 peratus atau bersamaan RM500 dengan mengambil kira untung tersebut telah ditolak dengan kos-kos jual dan beli ataupun tidak.

Sekiranya untung bersih setelah ditolak lain-lain kos kurang daripada RM500, anda boleh membeli saham yang lain. Tetapi sekiranya RM500 tersebut merupakan untung bersih, anda disyorkan untuk berhenti seketika atau jangan membeli saham syarikat tersenarai yang lain walaupun pada waktu itu portfolio pelaburan anda adalah kosong.

Tetapi, sekiranya selepas sebulan anda memegang saham syarikat ABC dan harganya masih belum naik, maka anda boleh membeli saham syarikat yang lain dengan baki modal yang ada. Daripada contoh di sini, anda masih mempunyai baki modal RM10,000.

Kebiasaannya, modal sebanyak RM20,000 itu sesuai untuk membeli tiga saham syarikat tersenarai. Anda perlu menunggu saham-saham tersebut naik sekurang-kurangnya 5 peratus untuk menjualnya.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada pembaca yang ingin menghadiri kelas pelaburan saham pada April ini, sila hubungi talian 019-2352037