Fitch Ratings menjangkakan keadaan itu kemungkinan akan memberi implikasi negatif kepada penarafan memandangkan hutang yang tinggi akan meningkat dalam tempoh sederhana.

“Kami menjangkakan sasaran defisit fiskal pada Bajet 2018 boleh dicapai dan memberi penarafan A- dengan prospek stabil pada Ogos lalu. Tetapi pada Belanjawan 2019, ia disemak kepada 3.7 peratus pada 2018 daripada sebelum ini, 2.8 peratus.

“Pada masa itu, kerajaan menjangkakan kehilangan hasil bersih daripada pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan per­belanjaan yang lebih tinggi daripada subsidi bahan api akan mengimbangi penurunan harga dan perbelanjaan minyak yang le­bih tinggi,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut agensi penarafan tersebut, perbelanjaan dalam bajet yang baru dibentangkan itu adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini disebabkan bayaran balik cukai dan lebih ketara, kemasukan perbelanjaan sekali sahaja ke atas belanjawan dengan sebahagiannya bagi meningkatkan ketelusan.

Pada Belanjawan 2019, Guan Eng berkata, kerajaan baharu telah mewarisi kedudukan kewangan yang membimbangkan dengan hutang dan liabiliti sebenar kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1.065 trilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.

Perincian hutang ini me­rangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Sebelum ini, Fitch meningkatkan unjuran hutang Kerajaan Pusat pada akhir 2017 kepada 65.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 50.8 peratus dalam semakan terdahulu. Nisbah hutang awam median untuk A berdaulat ialah 50.6 peratus.

Sementara itu, analisis Moody’s Investors Service (Moody’s) menunjukkan hutang kerajaan akan meningkat kepada 51.1 peratus daripada KDNK pada 2019 daripada anggaran 50.6 peratus pada 2018.

“Pada tahap ini, hutang kekal lebih tinggi berbanding unjuran median diberi penarafan A pada 40.9 peratus bagi 2018, menekankan kepada kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama,” katanya.

Jelas firma tersebut, Belanjawan 2019 juga menunjukkan paras hutang yang tinggi dijangka berterusan bagi tempoh yang lebih lama daripada dijang­kakan memandangkan defisit diunjur kekal di atas paras tiga peratus daripada KDNK sehingga 2020.

Untuk tempoh terdekat ini, kemungkinan sebarang penurunan lagi defisit akan diimbangi perolehan hasil daripada sumber bukan cukai termasuk dividen tinggi daripada per­usahaan milik negara, dan atau menerusi pemotongan per­belanjaan.

Selain itu, menurut Moody’s, dengan penggantian GST kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), hasil berkaitan petroleum meningkat kepada kira-kira 31 peratus daripada jumlah hasil berban­ding kurang 16 peratus pada 2017, menjadikan pendapatan kerajaan mudah terdedah kepada turun naik harga minyak.

“Banyak langkah, sama ada yang sedang dilaksanakan atau dan yang dirancang, mencerminkan usaha kerajaan untuk meningkatkan ke­telusan dan akauntabiliti akaun awam.

“Bagaimanapun, pendedahan saiz ‘jaminan yang kerajaan komited’, jaminan kepada entiti yang memerlukan sokongan kewangan tetap, boleh menambah sehingga 10.5 peratus daripada KDNK kepada hutang kerajaan pada masa depan, memandangkan kemungkinan besar pembayaran hutang entiti ini akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.