Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan berkata, sasaran pada 2019 disifatkan realistik seiring dengan persekitaran ekonomi ketika ini dan akan disumbangkan oleh sektor makanan dan minuman (F&B) kira-kira 40 peratus.

Katanya, FIM 2019 anjuran buat kali ke-26 itu bakal diadakan pada 5 hingga 7 April 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dijangka menarik lebih 12,000 pengunjung.

“Sebanyak 140 ruang pame­ran disediakan untuk penggiat francais sepanjang pameran tiga hari berkenaan. FIM kali ini lebih menarik kerana para pempamer akan dibahagikan mengikut sektor untuk memudahkan pengunjung.

“Pemain industri dari luar negara seperti Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Jepun antara yang telah menunjukkan minat untuk menyertainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh, Penolong Bendahari MFA, Amran Shah Idris dan Ketua Eksekutif MFA, Ahmad Faizal Mohamed Noor.

FIM adalah program tahunan francais terbesar di Asia Tenggara dan ia merupakan landasan terbaik bagi menyokong usaha kerajaan membangunkan lebih ramai usahawan francais.

Penganjuran FIM itu sebahagian daripada usaha membantu merealisasikan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara menjelang 2020.

FIM 2019 bertujuan me­ngumpulkan usahawan francais tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan serta institusi kewangan di bawah satu bumbung bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan serta peluang perniagaan francais yang merangkumi pelbagai sektor.

Penganjuran FIM 2019 turut disokong sepenuhnya dan iktiraf oleh badan francais antarabangsa iaitu Majlis Francais Dunia (WFC), Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).