Ketika ditutup petang ini, saham syarikat perladangan itu naik empat sen atau 3.17 peratus kepada RM1.30 sesaham dengan pasaran modal RM4.74 bilion.

Menurut Kertas Putih Felda, masalah kewangan yang me­runcing dan hutang tinggi yang dialami Felda bermula selepas agensi itu menyenaraikan FGV pada 2012 dan melabur dalam sektor bukan perladangan.

Ia menunjukkan Perjanjian Sewa Tanah (LLA) antara FGV dan Felda menyebabkan pendapatan Felda berkurang lebih RM1 bilion setahun. Daripada RM6 bilion yang diterima Felda hasil penyenaraian FGV pada Jun 2012, Felda membelanjakan RM1.4 bilion untuk pelaburan baharu yang tidak menguntungkan manakala RM4.6 bilion untuk belanja tidak produktif.

FGV pula telah membelanjakan RM3.3 bilion daripada RM4.5 bilion yang diterimanya daripada penyenaraian bagi tujuan pelaburan dan pembangunan tidak menguntungkan.

Ketika disenaraikan, FGV meraih sehingga RM10 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan harga penyena­raian pada RM4.55 sesaham.

* Pelan penstrukturan 
semula

Bagaimanapun, firma penyelidikan, AllianceDBS Research optimis dengan pelan penstrukturan semula FGV yang dilaksanakan pengerusinya, Datuk Azhar Abdul Hamid dan pasukan pengurusan baharu syarikat berkenaan.

Katanya, hasil FGV dijangka lebih baik dengan penyelesaian bagi isu tenaga kerja, langkah untuk mengurangkan ketirisan dan program penanaman se­mula supaya FGV dapat menca­tatkan peningkatan ketara bagi kecekapan kos, hasil dan ­keuntungan.

“Ini kerana kami melihat banyak potensi kepada FGV dan kami optimis dengan pelan transformasi kumpulan. Selain isu semasa melibatkan peningkatan kecekapan operasi dan pokok yang lebih muda, FGV boleh diuruskan dengan lebih baik jika pengaruh politik dikurangkan.

“Kami percaya FGV menjadi keutamaan kerajaan dan akan memastikan ia diurus dengan baik supaya dapat meraih undi peneroka dan mempunyai mandat lebih kuat pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Datuk Haris Fadzilah Hassan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV pada 29 Januari lalu. Jawatan itu kosong sejak Datuk Zakaria Arshad meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV pada 18 September 2018, enam hari selepas digantung tugas.

* Miliki kepakaran 
diperlukan

Menurut AllianceDBS, pe­ngurusan baharu FGV memiliki kepakaran yang diperlukan syarikat perladangan milik Felda itu dengan kepentingan terbesar sebanyak 33.7 peratus.

“Syarikat ini sudah melalui pelbagai cabaran dalam tempoh tiga hingga empat tahun termasuk pegawai tertingginya terlibat dalam rasuah. Selain itu, lembaga pengarahnya juga bergoncang hingga menyebabkan pelabur hilang keyakinan,” katanya.

Malah, katanya, FGV tidak menunjukkan rekod yang baik dari segi operasi memandangkan ia sentiasa mencatat prestasi yang kurang baik sejak disenaraikan pada 2012.

Jelasnya, ia juga tidak efisien sejak beberapa tahun lalu apabila merekodkan hasil buah tandan segar (BTS) di bawah purata dan kos pengeluaran yang tinggi disebabkan isu tenaga buruh dan usia pokok yang tua.

“Namun, kami berpendapat, tiada perancangan yang teratur dijalankan FGV sejak beberapa tahun lepas. Ini memandangkan purata usia pokok masih tinggi dan pada masa sama hasil BTS adalah rendah.

“Bagaimanapun, kami positif, dengan pelan tanaman semula FGV, yang bermula sejak 2012 dan ia berjaya melaksanakan tanaman semula melibatkan 13,000 hektar. Kami menjangkakan usia pokok akan menurun daripada 16 tahun ketika ini kepada 14 tahun menjelang 2025,” katanya.

FGV mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan sebahagian besar­nya di­sebabkan rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM1.04 bilion.

Prestasi FGV terkesan de­ngan harga minyak sawit mentah (MSM) pada harga purata RM2,053 satu tan metrik pada suku disemak, 24.6 peratus ­lebih rendah berbanding RM2,723 tan metrik (suku keempat 2017).