Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, syarikat itu terbuka untuk perbincangan bagi memperkukuhkan perniagaan MSM tetapi ingin kekal sebagai pemegang saham utama kerana ia percaya permintaan untuk makanan dan tenaga akan terus berkembang.

“Kami percaya bahawa permintaan untuk makanan dan tenaga akan terus berkembang, jadi kami ingin kekal dalam perniagaan makanan ini kerana gula juga merupakan sebahagian daripada perniagaan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI), Biotek Dinamik Sdn. Bhd. dan Sime Darby Energy Solutions Sdn. Bhd. di sini hari ini.

MoU itu adalah untuk menghasilkan Biogas Asli Mampat (Bio-CNG) daripada sisa biogas dihasilkan daripada kolam efluen kilang minyak sawit (POME).

Haris Fadzilah berkata, apa-apa kerjasama dibuat oleh MSM akan bertujuan untuk menggunakan kapasiti penapisan daripada kilang penapisan MSM, serta peluang untuk pasaran luar negara.

“Walaupun kami mempunyai kapasiti 2.2 juta tan (setahun), permintaan di Malaysia adalah sekitar 1.6 juta tan (setahun). Jadi, anda dapat melihat ada peluang bagi kami untuk merebut peluang dalam negeri dan mencari peluang untuk berkembang di luar negara, “ katanya.

Beliau berkata, antara pasaran sasaran di luar negara ialah China, India dan Indonesia yang merupakan pengguna gula tertinggi di dunia.

MSM, 51 peratus dimiliki FGV, kini memegang 60 peratus bahagian pasaran gula di negara ini, manakala selebihnya berada di bawah Central Sugars Refinery Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai kebuntuan berhubung bayaran imbuhan ahli pengarah, Haris Fadzilah berkata, perbincangan masih berlangsung di antara barisan pengarah dan para pemegang saham utama.

“Apabila ahli lembaga dan pemegang saham mempunyai sesuatu yang konkrit, kami akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara ini,” katanya.

Para pengarah juga komited untuk memulihkan syarikat walaupun dengan kebuntuan berhubung bayaran imbuhan tersebut, katanya, sambil menambah: “Saya memuji mereka atas komitmen mereka”.

Pada mesyuarat agung tahunan ke-11 (AGM) FGV, yang diadakan bulan lepas, pemegang saham utama mengundi terhadap tiga resolusi mengenai imbuhan pengarah FGV.

Resolusi itu adalah untuk meluluskan bayaran imbuhan pengarah berjumlah RM2.55 juta, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, pembayaran sebahagian imbuhan pengarah kepada pengarah bukan eksekutif sehingga sejumlah RM1.18 juta dari 26 Jun sehingga mesyuarat agung tahunan (AGM) seterusnya, dan pembayaran faedah kepada pengarah bukan eksekutif dari 26 Jun sehingga AGM yang akan datang.

Pemegang saham juga mengundi menolak resolusi yang memberi kuasa kepada pengarah untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham menurut Seksyen 75 Akta Syarikat, 2016.

Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) adalah pemegang saham terbesar FGV pada 33.7 peratus, manakala Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masing-masing memegang 5.25 peratus dan 1.25 peratus. - BERNAMA